Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata pihaknya menerima laporan berhubung dokumen sedemikian kononnya dikeluarkan "Pejabat Pusat Memerangi Jenayah Berkaitan Teknologi Maklumat dan Komunikasi", Selasa lepas.
Dokumen itu menurutnya, memaklumkan penerimanya terbabit dalam beberapa prosiding undang-undang kerana memiliki imej pornografi kanak-kanak dan dikehendaki menghubungi pihak yang mengeluarkan dokumen itu dengan segera atau waran tangkap akan dikeluarkan.
"Hasil penelitian, dokumen itu turut memaparkan Jata Negara serta logo Badan Peguam Malaysia dan ditandatangani penama yang hampir sama dengan Ketua Polis Negara, namun menggunakan jawatan berbeza.
"Semua perkara yang dinyatakan dalam dokumen terbabit adalah palsu dan tidak pernah dikeluarkan mana-mana jabatan kerajaan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ramli berkata kes disiasat mengikut Seksyen 465 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang menerima dokumen sedemikian sama ada secara fizikal, e-mel, mesej WhatsApp atau apa cara sekalipun diingatkan untuk tidak memberi sebarang respons kepada penghantarnya.
"Kita percaya dokumen itu telah dicipta dengan tujuan untuk menimbulkan kebimbangan kepada penerima dan seterusnya menjerat mereka menjadi mangsa penipuan atau pemerasan," katanya sambil menambah orang ramai yang mungkin menjadi mangsa diminta tampil membuat laporan di balai polis berhampiran.
-- BERNAMA