Polis siasat penemuan mayat bayi masih bertali pusat di Rawang
Mayat bayi perempuan yang tiada pengenalan diri itu ditemukan oleh seorang ahli kariah Surau Al-Hidayah Kampung Melayu di Pekan Rawang.
Bernama
Thu Jan 16 2025
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Insp Siti Khatijah Ibrahim atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak.
KUALA LUMPUR: Polis telah membuka siasatan berhubung penemuan mayat bayi perempuan di kawasan pekarangan Surau Al-Hidayah Kampung Melayu di Pekan Rawang, Selangor, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, mayat bayi perempuan yang tiada pengenalan diri itu ditemukan oleh seorang ahli kariah surau berkenaan sebelum memaklumkan kepada pihak polis pada 2.36 petang.
"Bayi yang masih bertali pusat itu lengkap berpakaian baju putih dengan tulisan 'Pureen' dan dibalut kain selimut. Mayat bayi tersebut telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan semalam.
Noor Ariffin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Insp Siti Khatijah Ibrahim di talian 010-9073483 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di talian 03-6126222.