KUALA LUMPUR: Polis menjalankan siasatan berhubung sebuah video tular membabitkan tindakan seorang lelaki merokok di sebuah stesen minyak dan memandu secara berbahaya di Damansara Damai, Petaling Jaya di sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Supt M. Hussin Sollehuddin Zolkifly berkata pihaknya mengesan video tular berkenaan pada 8 pagi tadi, yang memaparkan seorang individu menghisap rokok di kawasan stesen minyak dan kemudian melakukan provokasi dengan memandu secara membahayakan, apabila ditegur oleh seorang orang awam.

"Polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan.

"Orang ramai yang melihat kejadian atau mempunyai maklumat, boleh menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Muhammad Hisyam Azih di talian 017-7378704 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya 03-79662222,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hari ini tular di media sosial sebuah video memaparkan seorang individu sedang berjalan ke kenderaan yang diletakkan di kawasan stesen minyak tersebut sambil menghisap rokok, lalu ditegur oleh orang awam.

Berang dengan teguran itu, lelaki berkenaan bertindak melakukan provokasi dengan memandu secara membahayakan dan menghalang laluan kenderaan dipandu oleh orang awam berkenaan.

-- BERNAMA