Ketua Polis Daerah KLIA ACP Azman Shari'at berkata dadah yang dianggarkan bernilai RM607,200 itu dipercayai untuk dipasarkan ke Sarawak.
"Modus operandi yang digunakan oleh suspek adalah dengan menyembunyikan bungkusan dadah dalam kotak makanan dan mencampurkannya dengan bungkusan makanan ringan lain bagi mengaburi pihak keselamatan.
"Mereka seterusnya menggunakan perkhidmatan self check-in yang mungkin dianggap sukar untuk dikesan pihak berkuasa," katanya dalam kenyataan hari ini.
Azman berkata suspek pertama ditahan pada 6.30 petang, 7 Feb lepas oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah KLIA di kawasan balai pelepasan KLIA Terminal 2.
Beliau berkata hasil pertanyaan dan siasatan lanjut, suspek telah memandu arah pasukan polis ke sebuah bilik hotel di sekitar Sepang, membawa penemuan kepada satu kotak mengandungi lapan bungkusan plastik berisi serbuk dan ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat 8.43 kg.
Susulan daripada tangkapan dan rampasan tersebut polis menahan suspek kedua di kawasan balai pelepasan KLIA Terminal 2 keesokan harinya, serta merampas satu kotak mengandungi 10 bungkusan plastik berisi serbuk dan ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat 10.54 kg.
Azman berkata jumlah keseluruhan dadah dirampas itu boleh dibekalkan kepada 94,875 orang penagih sehari.
Beliau berkata kedua-dua lelaki berusia 19 dan 20 tahun itu tidak mempunyai rekod kesalahan jenayah dan dadah.
"Saringan awal air kencing suspek pertama positif dadah jenis methamphetamine manakala suspek kedua pula negatif dadah. Kedua-dua suspek direman tujuh hari hingga Jumaat depan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
-- BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)