KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan sindiket penipuan pelaburan saham yang menjadikan tiga unit kondominium di Sri Petaling, di sini, sebagai pusat panggilan dengan penahanan lapan individu, pada Selasa.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata kesemua yang ditahan, berperanan selaku agen pencari pelabur terdiri daripada tujuh lelaki warga China dan seorang lelaki warga tempatan berusia 20 hingga 37 tahun.

Beliau berkata pihaknya turut merampas 23 telefon bimbit, tiga set komputer, sebuah monitor, sebuah komputer riba, seunit router dan modem internet, dua unit external hard disk, tiga rangkai kunci beserta kad akses rumah, tiga pasport dan wang tunai RM3,453.

"Berdasarkan pemeriksaan awal, sindiket itu didapati terlibat dengan penipuan pelaburan saham yang menyasarkan mangsa warga China. Sindiket akan menawarkan serta mengajar mangsa untuk menyertai pelaburan tersebut melalui pautan yang diberikan.

"Kesemua suspek direman lima hari sehingga Sabtu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 KanunKeseksaan," katanya pada sidang media JSJK di sini hari ini.

Ramli berkata premis kediaman turut dijadikan markas untuk kegiatan jenayah penipuan.

"Satu kaedah atau tatacara yang lebih tegas perlu diwujudkan, bagi menentukan semua pemilik premis melakukan KYC (know your customer) sebelum menyewakan premis mereka kepada orang lain. Alasan tidak mengetahui aktiviti yang dilakukan dalam premis tidak boleh dipertimbangkan," katanya.

Beliau menegaskan selaku pemilik premis, mereka wajar dipertanggungjawabkan terhadap aktiviti jenayah yang dilakukan di premis tersebut.

"Cadangan untuk meletakkan liabiliti jenayah terhadap pemilik premis sedang dilakukan agar mana-mana individu yang gagal memantau atau melaporkan aktiviti jenayah yang berlaku dalam premis itu dikenakan hukuman di bawah kesalahan pakat jahat jenayah mahupun bersubahat," katanya.

-- BERNAMA