Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata suspek berusia 29 tahun itu yang juga kenalan mangsa ditahan di lokasi kejadian kira-kira 8.30 malam.
Beliau berkata lokasi kejadian berlaku di premis menjual pendingin hawa milik mangsa yang berusia 38 tahun dan berasal dari Sri Jaya, Maran.
"Kami menerima panggilan daripada ibu mangsa mengenai kematian anaknya sekitar 3 petang semalam. Sejurus itu, sepasukan polis dibantu unit forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang bersama pakar patologi forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan telah ke lokasi.
"Siasatan lanjut mendapati terdapat unsur jenayah pada tubuh mangsa dan bertindak atas siasatan awal, pihak polis menahan seorang lelaki untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Wan Mohd Zahari berkata pekerja ladang itu yang dipercayai individu terakhir dilihat bersama mangsa direman selama tujuh hari hingga 11 Feb bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA