Pemangku Ketua Polis Perak DCP Zulkafli Sariaat berkata lelaki yang bekerja sebagai kelindan lori berusia 42 tahun itu ditahan di kawasan parkir kereta kira-kira 11.20 pagi.
"Hasil pemerhatian dan pemeriksaan, kami menahan suspek yang ketika itu mengeluarkan barang dari but kereta jenis Perodua Bezza dan sedang menunggu pembeli, polis menemukan 44 bungkusan plastik lut sinar berisi dadah disyaki jenis heroin seberat 19.2 kg di bahagian tempat duduk belakang kereta tersebut. Nilai keseluruhan dadah dianggarkan berjumlah RM220,000," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini hari ini.
Zulkafli berkata suspek mempunyai 13 rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah serta ujian air kencing yang dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis morfin.
Katanya berdasarkan siasatan yang dijalankan mendapati sindiket pengedaran dadah dipercayai aktif sejak Oktober tahun lalu dan kesemua dadah yang dirampas disyaki diedarkan untuk pasaran di sekitar negeri Perak dengan boleh digunakan seramai 40,000 penagih dadah.
Suspek direman selama enam hari sehingga 27 Jan depan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.
Sementara itu, Zulkafli berkata Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak telah merampas pelbagai jenis dadah berjumlah 259.6 kg yang dianggarkan bernilai RM9.79 juta sepanjang tahun lepas.
Beliau berkata sepanjang tempoh berkenaan seramai 20,458 orang ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah.
Katanya seramai 598 individu telah dituduh di mahkamah di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 sepanjang tempoh berkenaan.
-- BERNAMA