PUTRAJAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan menahan Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) Sevan Doraisamy hari ini, seperti yang dilaporkan menerusi beberapa portal berita.

Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Aidi Sham Mohamed berkata pihaknya hanya merekod percakapan Sevan di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya, di sini hari ini.

"Hanya rekod percakapan sahaja, tiada tangkapan (terhadap Sevan)," katanya ringkas kepada media hari ini.

Media sebelum ini melaporkan yang Sevan diambil keterangan berhubung dakwaan beliau memasuki Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini pada Isnin tanpa pas.

-- BERNAMA