JOHOR BAHRU: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang beroperasi di sebuah kedai runcit dengan penahanan tiga lelaki dalam serbuan di kawasan Taman Universiti, di sini minggu lepas.


Ringkasan AI
  • Polis menahan tiga lelaki dalam serbuan di Taman Universiti, Johor Bahru, yang terlibat dalam sindiket pengedaran dadah.
  • Pelbagai jenis dadah bernilai RM346,225 dirampas, termasuk lebih 1kg syabu, 1.84kg ekstasi, dan 1kg ganja.
  • Ketiga-tiga suspek negatif dadah, dua daripadanya mempunyai rekod jenayah, dan siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti sumber bekalan dadah.


Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara ACP Balveer Singh Mahindar Singh berkata dalam serbuan pada pukul 7 malam, 5 Mac lepas itu, pelbagai jenis dadah bernilai RM346,225 turut dirampas dengan premis itu dipercayai digunakan sebagai lokasi untuk mengumpul dan mengedar dadah.

"Sindiket ini dipercayai aktif secara kecil-kecilan sejak Januari lepas dan seorang daripada suspek yang ditahan merupakan pemilik kedai runcit berkenaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara, di sini hari ini.

Balveer berkata keseluruhannya lebih 1 kilogram (kg) syabu, 1.84kg ekstasi dan 1kg ganja dirampas, selain lapan buah kenderaan serta wang tunai RM1,000 turut disita.

Sementara itu, beliau berkata ketiga-tiga suspek yang merupakan lelaki tempatan berusia 22 hingga 29 tahun itu negatif dadah manakala dua daripada mereka memiliki rekod kes jenayah dan dadah.

Menurut Balveer siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti cara bekalan dadah berkenaan diperolehi di samping kemungkinan penglibatan suspek lain.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan reman lima hari ketiga-tiga suspek yang tamat semalam disambung tujuh hari lagi bermula hari ini," katanya.

-- BERNAMA