GEORGE TOWN: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah dengan penahanan dua individu termasuk seorang wanita warga asing dalam serbuan di sekitar Jelutong di sini, pada Isnin.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata dalam serbuan bermula 8.45 malam itu, sejumlah dadah jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA) bernilai lebih RM1 juta turut dirampas.

Beliau berkata penangkapan pertama melibatkan seorang lelaki tempatan di hadapan sebuah kedai dan pemeriksaan menemukan tiga peket plastik mengandungi serbuk jus MDMA dianggarkan bernilai RM19,706.

"Hasil soal siasat, polis dibawa ke tempat letak kereta di kawasan sama dan telah memeriksa sebuah kenderaan serta merampas 50 botol minuman dipercayai mengandungi 19,700 mililiter (ml) cecair jus minuman MDMA bernilai RM15,000 dan 16 cawan berpenutup disyaki mengandungi serbuk MDMA bernilai RM4,800.

"Susulan itu, polis ke sebuah unit kondominium di kawasan sama dan menahan wanita warga asing serta merampas 265 peket plastik dipercayai berisi serbuk MDMA dianggarkan bernilai RM1.12 juta dan 23 cawan berpenutup, juga dipercayai mengandungi MDMA bernilai RM6,900," katanya dalam kenyataan hari ini.

Hamzah berkata serbuk MDMA yang dirampas dalam serbuan itu dianggarkan seberat 8.47 kilogram (kg) dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM1.168 juta, selain turut menyita sebuah motosikal bernilai RM5,600.

Beliau berkata hasil risikan mendapati sindiket terbabit bergiat aktif sejak bulan lepas dan kedua-dua suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau itu turut positif dadah jenis methamphetamine.

"Suspek yang masing-masing berusia 32 dan 42 tahun itu direman selama tujuh hari hingga 10 Mac bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.

--BERNAMA