Ringkasan AI
- Presiden Indonesia Prabowo Subianto menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim atas kurniaan Darjah Kerabat Johor, yang melambangkan keakraban hubungan mereka.
- Prabowo menyatakan bahawa beliau telah mengenali Sultan Ibrahim selama 55 tahun sejak mereka bersekolah di Amerika Syarikat.
- Prabowo juga menekankan persamaan antara rakyat Malaysia dan Indonesia, yang menjadi kekuatan kepada hubungan istimewa antara kedua-dua negara jiran.
Prabowo berkata pengurniaan darjah tersebut menjadi lambang keakraban hubungan antara dirinya dengan Sultan Ibrahim serta kerabat Kesultanan Johor.
"Hubungan kami sangat lama, mungkin sudah 55 tahun saya kenal dengan Yang di-Pertuan Agong, sewaktu kami masih sama-sama muda dan bersekolah di Amerika Syarikat," katanya pada sidang media bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini hari ini.
Sidang media bersama tersebut diadakan di Menara Berkembar PETRONAS selepas Prabowo dan Anwar mengadakan pertemuan empat mata dan mesyuarat dua hala, sebentar tadi.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan mengurniakan Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati Pangkat Pertama (D.K.1) kepada Prabowo, di Istana Negara.
Dalam pada itu, Prabowo turut menyatakan bahawa rakyat Malaysia dan Indonesia memiliki pelbagai persamaan, yang menjadi kekuatan kepada hubungan antara kedua-dua negara jiran itu.
"Malaysia dan Indonesia memiliki kepentingan yang sama, kita ini pendiri ASEAN. Kita mempunyai hubungan sejarah, darah dan etnik.
"Hal seharusnya membuat hubungan kita lebih khas, pastinya terdapat hubungan istimewa antara Malaysia dan Indonesia," katanya.
-- BERNAMA