KUALA LUMPUR: Presiden Republik Indonesia, Prabowo Subianto tiba di Menara Berkembar Petronas sekitar jam 2.30 petang pada Isnin bagi mengadakan pertemuan tertutup bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Ringkasan AI
  • Presiden Republik Indonesia, Prabowo Subianto, tiba di Menara Berkembar Petronas pada jam 2.30 petang untuk pertemuan tertutup dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, membincangkan kerjasama dua hala dan isu-isu global.
  • Prabowo tiba di Malaysia pada jam 5.50 pagi melalui Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan disambut oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, bersama delegasi Indonesia.
  • Prabowo diberikan istiadat sambutan negara sebelum menghadap Yang di Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, yang turut meraikan beliau dan delegasinya dalam Majlis Jamuan Negara. Lawatan ini adalah atas undangan Sultan Ibrahim dan Perdana Menteri.


Difahamkan, pertemuan akan membincangkan langkah memperkukuh kerjasama dua hala dan isu-isu global melibatkan kepentingan kedua-dua negara.

Terdahulu, Prabowo serta delegasinya tiba di Malaysia pada jam 5.50 pagi melalui Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, hadir bagi menyambut ketibaan Prabowo bersama-sama delegasinya, yang terdiri daripada beberapa menteri Kabinet Indonesia dan pegawai kanan kerajaan.

Prabowo turut diberikan istiadat sambutan negara sebelum menghadap Yang di Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Sultan Ibrahim turut berkenan meraikan Prabowo dan delegasinya dalam satu Majlis Jamuan Negara.

Kehadiran pemimpin itu sempena lawatan rasminya ke Malaysia atas undangan Baginda dan Perdana Menteri.

Selain negara jiran yang mempunyai kerjasama rapat, Malaysia dan Indonesia juga saling mempunyai peranan penting di dalam ASEAN yang berkemungkinan juga menjadi sebahagian daripada agenda pertemuan berkenaan.