Ringkasan AI
- Presiden Indonesia Prabowo Subianto menyatakan keyakinannya bahawa Malaysia dan Indonesia dapat menyelesaikan isu sempadan dan tenaga kerja secara tertib dengan iltizam politik dan kerjasama.
- Prabowo menekankan pentingnya kerjasama antara Malaysia dan Indonesia dalam menghadapi ketegangan dan ketidakpastian geopolitik dunia.
- Sidang media bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Menara Berkembar PETRONAS menegaskan bahawa kerjasama yang baik antara kedua-dua negara akan memperkuat suara mereka di peringkat ASEAN.
Beliau berkata isu tenaga kerja dan sempadan yang sekian lama dibahas antara kedua-dua negara berjiran itu boleh diselesaikan, sekiranya pemimpin mempunyai iltizam politik untuk bekerjasama.
"Hal-hal lain kita boleh selesaikan, masalah teknikal boleh diselesaikan. Apa yang penting ialah kita mempunyai iltizam politik dan strategik.
"Kita boleh selesaikan masalah sempadan, kita akan selesaikan masalah dua hala dan tenaga kerja jika sepakat untuk tertibkan," katanya pada sidang media bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini, hari ini.
Sidang media bersama tersebut diadakan di Menara Berkembar PETRONAS selepas Prabowo dan Anwar mengadakan pertemuan empat mata dan mesyuarat dua hala.
Prabowo berkata perkara tersebut turut disepakati bersama Anwar dalam pertemuan sebentar tadi.
Beliau berkata kerjasama antara Malaysia dan Indonesia adalah amat penting tatkala geopolitik dunia kini penuh dengan ketegangan dan ketidakpastian.
"Kerana itu pada pandangan saya, Malaysia dan Indonsia kita juga perlu tumpulan sinergi bersama rakan-rakan ASEAN kita. Hanya dengan kerjasama yang baik antara kita, suara kita akan lebih didengari," katanya.
-- BERNAMA