Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, ia bagi memastikan penumpang tidak lagi mengambil masa terlalu lama untuk sampai ke stesen pengangkutan awam berkenaan dari rumah mereka, selain sebahagian usaha meningkatkan kadar kepenggunaan pengangkutan awam.
Katanya lagi, proses operasi 300 van baharu tersebut akan bermula secara berperingkat antara Februari sehingga Jun depan.
“Tahun ini pihak Prasarana melalui RapidKL akan memperkenalkan 300 van bergerak di Lembah klang berdekatan stesen awam untuk membawa penumpang, dan (seterusnya) menyelesaikan isu ‘first mile last mile’.
“Sebanyak 20 van telah diguna pakai sejak tahun lalu, dan ia memang popular dan ramai suka kerana kita hanya caj RM1 untuk satu perjalanan. Jadi (bermula) bulan Mac nanti, 300 van baharu akan mula beroperasi, secara progresif kita akan mendapat van baharu,” katanya lagi.
Loke berkata, Prasarana juga akan membawa masuk 310 bas diesel baharu, yang merupakan kumpulan terakhir sebelum melaksanakan hala tuju kerajaan untuk memperkenalkan sistem bas awam yang lebih mesra alam.
Beliau berkata demikian kepada sidang media selepas menghadiri sesi Pembentangan Laporan Prestasi 2024 dan Pelan 2025 Prasarana di Menara Prasarana, di sini pada Jumaat.
Sebelum ini media melaporkan isu kesulitan untuk tiba ke destinasi akhir dari stesen tren dan sebaliknya (first-and-last mile connectivity), susulan majoriti stesen tren di Lembah Klang sukar untuk diakses oleh pengguna yang berjalan kaki.
Susulan itu, Prasarana telah memperkenalkan perkhidmatan DRT sebanyak 30 van pada fasa pertama, dengan 10 daripadanya dilengkapi ciri-ciri keselamatan tinggi dan mesra golongan Orang Kurang Upaya (OKU).
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Mohd Azharuddin Mat Sah dilaporkan berkata Prasarana telah merancang menyediakan perkhidmatan DRT di kawasan lain seperti laluan Putrajaya, Kajang dan Ampang serta kawasan yang tiada perkhidmatan rel atau Rapid Bus seperti Kuala Kuala Baharu.
Dalam pada itu Loke berkata, MOT dan Prasarana akan terus memberi tumpuan kepada penyelenggaraan, bagi memastikan visi mencapai sasaran Min Kilometer Antara Kegagalan (MKBF) sejauh satu juta kilometer tercapai menjelang suku ketiga 2026.
“Harapan kita menjelang 2026, MKBF ialah sejauh satu juta km. Apa maksudnya? Kita tak mahu ada gangguan dalam satu juta kilometer laluan. Maksudnya apabila tren berjalan sehingga 1 juta km baru ada gangguan.
“Sekarang mungkin ada laluan yang mengalami gangguan setiap 200,000km atau 400,000km secara purata. Berlaku sekali gangguan. Kalau MKBF tinggi, kalau satu juta, baru satu gangguan, kekerapan amat kurang. Mungkin setahun sekali dua.
“Itu memang perkara biasa dalam mana mana operator rel. jadi ini sasaran kita nak kurangkan gangguan. Kalau tanya pengalaman pengguna MRT, LRT di KL, banyak rasa gangguan berkurangan dalam kadar agak baik,” katanya lagi.
Sejak memperkenalkan sistem MKBF, Loke berkata, gangguan yang direkodkan sepanjang 71 kali, jauh lebih rendah berbanding 118 kali gangguan pada tahun 2023, dan 255 kali gangguan pada tahun sebelumnya.