KUALA LUMPUR: Satu jawatankuasa telah ditubuhkan untuk menjalankan siasatan terperinci berhubung insiden seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) penglihatan maut digilis tren selepas terjatuh di kawasan landasan Transit Aliran Ringan (LRT) Titiwangsa pada Sabtu lepas.


Ringkasan AI
  • Satu jawatankuasa ditubuhkan untuk siasat kematian OKU penglihatan yang digilis tren di LRT Titiwangsa.
  • Prasarana tambah pegawai keselamatan, tingkatkan SOP, dan libat urus dengan NGO OKU untuk persekitaran lebih selamat.
  • Prasarana pasang SMART CCTV bermula hujung tahun ini untuk kesan tingkah laku berisiko di platform, bermula dengan Laluan Monorel.


Dalam satu kenyataan, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) memaklumkan akan melaksanakan beberapa inisiatif penambahbaikan yang disyorkan oleh jawatankuasa tersebut.

Syarikat tersebut mengulangi komitmen untuk memastikan persekitaran perjalanan yang lebih selamat dan mudah diakses untuk orang kurang upaya.

“Prasarana akan melipatgandakan sesi libat urus bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan OKU bagi mendapatkan maklum balas serta memperbaiki prosedur dari semasa ke semasa,” katanya.

Antara inisiatif yang diambil termasuk menambah bilangan pegawai polis bantuan di stesen yang tidak mempunyai pintu skrin platform automatik (PSD) dan mereka yang mempunyai bilangan pengguna kurang upaya yang ramai.

Prosedur operasi (SOP) juga sedang ditambah baik untuk meningkatkan standard pemantauan, terutamanya di platform.

Prasarana juga dalam proses menaik taraf kepada sistem televisyen litar tertutup pintar (SMART CCTV) yang mampu mengesan tingkah laku luar biasa dan berisiko.

“Langkah ini dapat memberi amaran awal kepada pihak operasi sekiranya berlaku sebarang insiden khususnya di platform.

“Kerja-kerja pemasangan kamera dijangka akan siap pada hujung tahun ini secara beringkat bermula dengan Laluan Monorel sebelum diteruskan ke laluan-laluan lain,” katanya lagi.