KUALA LUMPUR: Presiden Uzbekistan Shavkat Mirziyoyev akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia selama dua hari bermula Selasa, lapor Agensi Berita Nasional Uzbekistan (UzA).

Lawatan itu, yang dibuat atas jemputan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan memberi tumpuan kepada usaha mengukuhkan lagi hubungan antara Uzbekistan dan Malaysia.

Jadual lawatan Presiden Mirziyoyev dipenuhi dengan pertemuan peringkat tinggi termasuk perbincangan dua hala dengan Anwar, pertemuan dengan eksekutif utama syarikat terkemuka Malaysia serta menghadiri forum perniagaan bersama.

Agenda perbincangan peringkat tinggi akan memberi tumpuan kepada pengukuhan hubungan dua hala dan kerjasama praktikal khususnya dalam bidang perdagangan, pelaburan, inovasi, teknologi, petrokimia, elektronik, tenaga hijau, pertanian pintar dan pelancongan.

Kedua-dua pemimpin dijangka memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh pertukaran budaya dan kemanusiaan, selain membincangkan isu utama politik antarabangsa dan kerjasama serantau.

Selepas lawatan itu, satu Kenyataan Bersama dijangka dikeluarkan, bersama pakej perjanjian komprehensif bagi memperkukuh kerjasama strategik antara Malaysia dan Uzbekistan.

Menjelang lawatan itu, beberapa acara persediaan diadakan di Malaysia, termasuk mesyuarat institusi penyelidikan utama, pembentangan mengenai potensi pelancongan serta warisan budaya Uzbekistan dan forum rektor universiti terkemuka dari kedua-dua negara.

-- BERNAMA