Menerusi kenyataan DFP, pihaknya memohon maaf kerana membatalkan DFP Punchline: Harith Iskandar Punchline: Harith Iskander 35 Years of Laughter.
"Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan berlaku. Terima kasih atas pemahaman anda dan sokongan berterusan," jelas kenyataan itu.
DFP memaklumkan pembeli tiket boleh membuat pertukaran dengan konsert lain atau mendapatkan bayaran semula.
"Tiket boleh ditukar dengan mana-mana konsert DFP atau MPO lain dalam musim ini. Kedua, bayaran balik boleh dibuat melalui kaedah pembayaran asal yang digunakan pada masa pembelian.
"Semua pertukaran atau permintaan bayaran balik hendaklah dibuat selewat-lewatnya pada 8 Februari ini," ujarnya.
Pada Khamis, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya sudah merakam keterangan pelawak dan pelakon itu berhubung kontroversi berkenaan.
Razarudin berkata, seorang lagi individu yang sedang dikesan polis kerana dipercayai ada kaitan dengan kes itu ialah pengguna media sosial bernama ‘Cecelia Yap Song’.
Sebelum ini, polis telah memanggil pelawak dan pelakon itu bagi membantu siasatan berhubung hantaran dalam laman media sosialnya mengenai isu 'ham' yang didakwa menghina Islam.