Beliau berkata melalui program itu, warga asing dibenarkan memohon untuk tinggal di negara ini di bawah kriteria kelayakan berbeza dan mereka yang berjaya akan menerima pas kediaman untuk tempoh tertentu.
"Ini membolehkan mereka tinggal dan membelanjakan mata wang mereka di Malaysia, seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi kita dan menjana pendapatan negara.
"Bahkan rakyat Malaysia juga memohon pemastautin di negara lain di bawah syarat yang ditetapkan," katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bekas Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Tan Sri Rais Yatim di Facebook pada Jumaat berhubung program MM2H yang didakwa menjadikan 22,000 rakyat China sebagai penduduk tetap di Malaysia.
Tiong berkata tidak wujud sebarang agenda tersembunyi dalam pelaksanaan MM2H sebaliknya, ia bertujuan untuk manfaat ekonomi dengan menarik pelaburan asing dan meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk pelabur serta penduduk antarabangsa.
"Tindakan seperti Rais ini pastinya berupaya menghalang potensi dan jenama MM2H di pentas antarabangsa, menghalang pelabur asing daripada menjalankan perniagaan mereka di Malaysia dan menggagalkan usaha untuk menjadikan Malaysia hab pelaburan yang berkembang maju," katanya.
Tiong berkata selaku bekas menteri yang arif dalam perundangan, Rais sepatutnya menyemak kesahihan maklumat sebelum membuat tuduhan yang boleh mencetuskan kekeliruan dan ketegangan kaum dalam masyarakat majmuk di Malaysia.
"Perlu difahami kenyataan tidak bertanggungjawab beliau boleh mencetuskan kekacauan yang tidak perlu dalam kalangan rakyat. Di negara majmuk seperti Malaysia, naratif yang mengelirukan seperti itu boleh mencetuskan ketegangan dan perpecahan kaum, yang berpotensi membawa akibat yang serius seperti perbalahan kaum atau konflik masyarakat," katanya.
MM2H diperkenalkan pada 2002 yang membenarkan warga asing membeli hartanah dan tinggal di Malaysia sebelum dibekukan sementara pada Ogos 2020, bagi memberi ruang kepada Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mengkaji serta menilai semula program itu secara komprehensif.
Sejak Oktober 2021, permohonan baharu MM2H dikendalikan Jabatan Imigresen, merangkumi urusan berkaitan perkhidmatan pemprosesan permohonan sedia ada dan logistik.
Antara syarat am bagi program itu ialah terbuka kepada warga asing dari negara yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Malaysia, berusia 25 tahun ke atas, semua permohonan sebagai peserta MM2H dibuat melalui Pusat Sehenti MM2H dan tempoh keberadaan di Malaysia sekurang-kurangnya 90 hari secara kumulatif dalam setahun.
-- BERNAMA
