KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata program pemerkasaan wanita dalam tempoh dua tahun pentadbiran Kerajaan Madani masih boleh diperbaiki.


Ringkasan AI
  • Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa dasar pemerkasaan wanita dalam tempoh dua tahun pentadbiran Kerajaan Madani masih boleh diperbaiki, dengan peranan wanita dan keluarga dianggap sangat penting untuk pembangunan masyarakat dan negara.
  • Anwar menegaskan bahawa peranan wanita, terutama sebagai ibu, adalah integral dalam memupuk nilai kemanusiaan, ihsan, dan rahmah, yang merupakan asas kepada konsep Madani.
  • Dalam mengejar pembangunan negara, termasuk digitalisasi dan teknologi, wanita dan keluarga harus sentiasa diberikan keutamaan untuk memastikan kejayaan konsep Madani.


Menurut Perdana Menteri, peranan keluarga dan wanita adalah sangat integral, selain paksi kepada pembangunan masyarakat dan negara.

“Maknanya ruang itu ada untuk kita perbaiki. Sebab mahu menjayakan Kerajaan Madani, bermula dengan menjayakan keluarga, memastikan disiplin sekolah dan anak-anak, asas keilmuan, serta keharmonian. Jadi, peranan wanita itu sangat integral.

“Kalau kita tidak pandang hal ini sebagai yang serius, maka konsep Madani itu tidak dapat kita cernakan,” kata Perdana Menteri.

Beliau berucap sempena Sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2025 yang bertemakan “Wanita Beraspirasi, Membina Legasi” di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini pada Sabtu.

Pembangunan keluarga bermula dengan pemerkasaan wanita - PM Anwar


Hadir sama isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.

Berucap lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata tindakan memperkasakan wanita bukan lagi tuntutan sepihak.

Tegasnya, dalam mengejar pembangunan negara termasuk dari segi digitalisasi dan teknologi, wanita dan keluarga harus sentiasa diberikan keutamaan.

“Apa yang lain dan unik tentang Madani? Kelainannya ialah kita memupuk nilai. Kita letak asas keyakinan dan beri kesedaran tentang nilai kemanusiaan.

“Apabila bercakap mengenai kemanusiaan, ihsan dan rahmah, semua itu masih bergantung banyak kepada peranan wanita, khususnya ibu,” tambah Perdana Menteri.