Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata proses rakaman percakapan membabitkan siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram itu tidak dapat dilaksanakan kerana Ahli Parlimen Bera itu, berikutan masih dalam keadaan kurang sihat.
"Sepatutnya beliau hadir esok (Jumaat), namun ia tidak dapat dilakukan kerana masih dalam cuti sakit," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sebelum ini media melaporkan perdana menteri kesembilan itu dijangka hadir ke ibu pejabat SPRM, 10 pagi esok bagi tujuan rakaman keterangan berhubung kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan beliau.
Pada 10 Feb lepas, Ismail Sabri telah menghantar maklumat pengisytiharan harta sebelum keterangannya direkodkan pada 19 Feb.
Sebelum ini Azam dilaporkan berkata bekas pemimpin itu merupakan suspek bagi siasatan kes rasuah serta pengubahan wang haram susulan penemuan wang tunai kira-kira RM170 juta di dalam sebuah safehouse susulan serbuan dilakukan pihaknya.
Fokus siasatan tertumpu kepada perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi serta publisiti semasa beliau menerajui negara.
Setakat ini, SPRM telah merakam percakapan 31 individu serta membekukan 13 akaun bank bernilai kira-kira RM2 juta, dengan kesemua akaun adalah sah dan aktif.
SPRM sebelum ini telah menyita wang tunai kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang antarabangsa antaranya Baht, Riyal, Pound Sterling, Won, Euro, Swiss Franc dan Yuan, serta 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai hampir RM7 juta.
-- BERNAMA
