GEORGE TOWN: Prosiding Peningkatan Bayaran Premium Insurans Kesihatan, Caj Hospital Swasta dan Impak Kepada Kesihatan Awam dijangka mengambil masa panjang sebelum melengkapkan laporan komprehensif.


Ringkasan AI
  • Prosiding mengenai peningkatan bayaran premium insurans kesihatan dan caj hospital swasta dijangka mengambil masa yang panjang kerana melibatkan banyak pihak dan isu baharu yang mungkin timbul.
  • Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, menyatakan kepuasan dengan dapatan daripada sesi pendengaran awam yang dihadiri kira-kira 100 peserta, dan prosiding akan diteruskan di Parlimen pada 21 Februari.
  • Lebih 50% populasi Malaysia mempunyai premium insurans kesihatan, termasuk golongan B40, yang menghadapi tekanan kenaikan harga insurans dan caj hospital swasta, memerlukan penyelesaian segera.


Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata prosiding berkenaan akan melibatkan banyak pihak dan berkemungkinan timbul perkara baharu berhubung isu tersebut ketika prosiding dijalankan.

"Banyak perkara yang berlaku dalam PAC ini. Bila kita panggil prosiding, kadang-kadang kita jangkakan perkara itu mungkin berlaku sekejap tetapi tak, ia akan panjang kerana dalam prosiding ada banyak perkara baharu yang mungkin timbul dan sebab itu saya hanya berpandangan kasar, bahawa ini akan berlaku panjang sebab banyak pihak akan terlibat dan dipanggil.

"Kita nak membuat satu laporan yang komprehensif bukannya laporan suka-suka, kita tak nak orang mempertikaikan laporan yang akan dikeluarkan oleh PAC. Kita nak buat satu laporan boleh membantu kerajaan membuat polisi ataupun dasar yang membantu rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sesi pendengaran awam bagi prosiding Peningkatan Bayaran Premium Insurans Kesihatan, Caj Hospital Swasta dan Impak Kepada Kesihatan Awam di sini, hari ini.

Kira-kira 100 peserta hadir pada sesi pendengaran awam itu yang dikendalikan Mas Ermieyati, ahli PAC Sim Tze Tzin yang juga Ahli Parlimen Bayan Baru, Ahli Parlimen Saratok Datuk Ali Biju, Ahli Parlimen Sik Ahmad Tarmizi Sulaiman dan Ahli Parlimen Kubang Pasu Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail, sebagai pengantara.

Mas Ermieyati berkata pihaknya berpuas hati dengan dapatan dan pandangan yang diterima daripada pendengaran awam hari ini dan ia akan diteruskan di Bangunan Parlimen di Kuala Lumpur pada 21 Feb.

Sementara itu, Sim berkata rakyat gusar dengan tekanan peningkatan premium insurans dan lebih 50 peratus populasi di Malaysia mempunyai premium insurans kesihatan.

"Rakyat daripada B40, mereka pun beli insurans. Jadi, ini bermaknan isu ini dihadapi semua daripada T20 hingga B40 memerlukan penyelesaian kepada kenaikan harga insurans dan hospital swasta," katanya.

Selepas sesi pendengaran awam, PAC akan mengadakan prosiding secara tertutup di bawah Peraturan Mesyuarat 85 Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dengan memanggil saksi-saksi terdiri daripada pemegang taruh utama daripada kementerian/jabatan dan agensi kerajaan berkaitan sebelum dimasukkan dalam laporan PAC dan dibentangkan di Parlimen.

Pada Disember lepas, Bank Negara Malaysia (BNM) meminta semua syarikat insurans dan takaful yang menawarkan produk insurans/takaful perubatan dan kesihatan (MHIT) melaksanakan pelarasan premium secara pengagihan sekurang-kurangnya selama tiga tahun hingga akhir 2026 bagi mengurangkan bebanan terhadap pemegang polisi yang mengalami peningkatan kenaikan premium.

Bulan lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak akan bertolak ansur sekiranya premium insurans kesihatan dinaikkan tanpa alasan munasabah.

-- BERNAMA