CHENNAI: Pulau Pinang dengan pantas berkembang sebagai destinasi popular untuk perkahwinan serta penganjuran mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE), menarik kehadiran pelancong India terutamanya dari selatan negara itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Biro Konvensyen dan Pameran Pulau Pinang (PCEB) Ashwin Gunasekaran berkata tarikan negeri itu, dirancakkan lagi dengan pelancaran penerbangan terus dari Chennai ke pulau itu menerusi Syarikat Penerbangan IndiGo, bermula 21 Dis tahun lepas.

"Destinasi perkahwinan mempunyai minimum 250 orang ke atas, jadi ini permintaan berterusan, dengan kebanyakannya melibatkan kawasan pantai dan hotel di tanah besar. Ini semua sangat positif.

"Pelancong dari India ialah segmen sangat baru untuk kami (Pulau Pinang), dengan kebanyakannya pengembara solo, pasangan berbulan madu dan keluarga," katanya pada sidang media sempena lawatan suai kenal media ke Chennai oleh PCEB di sini pada Selasa.

Turut hadir Pengarah PCEB Wong Yuee Harng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota.

Ashwin memaklumkan tarikan Pulau Pinang sebagai destinasi MICE juga semakin ketara menerusi penganjuran acara utama seperti persidangan yoga dan kesihatan dijadualkan pada April, dengan jangkaan kehadiran 500 peserta dari Tamil Nadu.

Beliau berkata tarikan Pulau Pinang yang semakin berkembang kepada acara perniagaan dan riadah dapat dilihat awal tahun ini, apabila menjadi tuan rumah Persidangan Global Organisation of Tamil Origin Meet (GOTO) kali ke-11, pertama kali diadakan di luar Tamil Nadu, pada 4 dan 5 Jan, melibatkan penyertaan 1,000 perwakilan daripada negara seperti Singapura, India dan Myanmar.

Selain itu, beliau yakin Pulau Mutiara juga akan menarik industri perfileman Tamil, Kollywood untuk melakukan penggambaran filem seperti Hong Kong, dengan insentif di bawah Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI) oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasioanal Malaysia (Finas).

"Ia cuma perlu permulaan daripada pasaran India dan saya fikir satu cabaran untuk melakukan penggambaran di Pulau Pinang (buat masa ini) ialah penerbangan terus. Jadi, setiap kali kami mendekati pengarah atau penerbit, saya fikir logistik dan transit yang banyak dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang... jadi itu sentiasa menjadi cabaran," katanya.

Bagaimanapun, Ashwin menyatakan selepas penerbangan terus ke Pulau Pinang oleh IndiGo, banyak perbualan berkaitan penggambaran telah berjalan, dengan hanya satu atau dua filem diperlukan sebagai permulaan, sebelum destinasi itu menjadi pilihan.

IndiGo melancarkan laluan baharu penerbangan terus Chennai ke Pulau Pinang bermula 21 Dis tahun lepas, menawarkan pengalaman penerbangan selesa dengan tempat duduk kelas perniagaan yang boleh dibaringkan sepenuhnya dan sistem hiburan dalam pesawat.

Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang menyaksikan peningkatan 51.43 peratus ketibaan pelancong India tahun lepas, menunjukkan minat semakin meningkat terhadap destinasi menarik itu.

-- BERNAMA