Ketua Menteri Chow Kon Yeow dalam perutusan Tahun Baharu Cina berkata kerajaan negeri juga menyampaikan bantuan kepada pelbagai sekolah kebangsaan (SK), sekolah agama rakyat (SAR), sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT), Punjabi dan tadika Tamil di Pulau Pinang.
"Dalam bidang pendidikan khususnya, kerajaan negeri amat komited pada aspek pembangunan modal insan iaitu bagi menjamin setiap anak-anak di negeri ini mempunyai akses pendidikan serta menuntut ilmu dalam suasana yang selesa dan kondusif," katanya.
Selain itu, Chow berkata 2025 merupakan masa untuk kerajaan negeri memberikan fokus kepada projek infrastruktur mega yang telah diluluskan seperti projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara, Projek Penyaluran Air Mentah Sungai Perak untuk bekalan air di utara Perak dan Pulau Pinang, Projek Pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Projek Lebuh Raya Bertingkat Juru-Sungai Dua dan Projek Batu Kawan Industrial Park 3.
Beliau berkata kerajaan negeri juga sentiasa berusaha menarik pelabur dari dalam dan luar negara untuk meneroka peluang menjana pendapatan baharu di samping memperkukuh hubungan dengan dunia luar bagi memastikan pelaburan berterusan dapat ditarik, termasuk dalam sektor perkhidmatan khususnya perubatan dan pelancongan.
Bagi memastikan setiap projek dapat dijalankan dengan telus dan lancar, Chow berharap semua pihak yang bertanggungjawab menjalankan tugas dengan lebih proaktif bagi memastikan setiap tema di bawah visi Penang 2030 dapat dicapai, terutamanya inisiatif strategik C4 iaitu 'Mempercepat Penyampaian Program dan Pembaharuan Institusi' yang menjadi antara fokusnya pada tahun ini.
"Ia merupakan asas terhadap pembaharuan institusi yang penting untuk menambah baik tadbir urus, merangsang pertumbuhan ekonomi, memupuk kesaksamaan sosial yang seterusnya mengukuhkan institusi kerajaan bagi mewujudkan pentadbiran negeri yang lebih makmur, adil dan berdaya tahan," katanya.
Sempena sambutan Tahun Baharu Cina pada Rabu ini, Chow mengajak semua pihak untuk meneruskan usaha mengukuhkan perpaduan dan menyemarakkan keharmonian sedia ada bagi memastikan rakyat Pulau Pinang berkembang sebagai sebuah komuniti contoh yang mampu menginspirasikan seluruh negara.
"Mengikut kalendar lunar Cina, tahun 2025 yang membawa zodiak ular akan dipenuhi dengan harapan dan potensi. Semoga dengan semangat yang terus membara, ia bakal membawa kita semua menuju kejayaan yang lebih gemilang tahun ini.
"Malah, bersandarkan 'harapan' dan 'potensi' ini jua, Pulau Pinang tetap berusaha untuk terus meningkatkan kesejahteraan rakyatnya, memacu pembangunan lestari dan memastikan setiap lapisan masyarakat khasnya, dapat merasai manfaat daripada kemajuan yang dicapai," katanya.
-- BERNAMA