KUALA LUMPUR: Proses rakaman percakapan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dijadual pada Rabu, terpaksa ditangguhkan kepada Jumaat ini.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi Astro AWANI pada malam Selasa.

Jelas beliau, penangguhan tersebut dibuat susulan masalah kesihatan Ahli Parlimen Bera itu.

"Disebabkan masalah kesihatan, esok ditangguhkan dulu rakaman percakapan beliau dan kita sedang buat 'arrangement' untuk beliau datang pada Jumaat, minggu ini.

"Masa bergantung (belum ditentukan lagi), tetapi kita nak beliau datang pada Jumaat," katanya kepada Astro AWANI, di sini malam ini.

Sebelum itu, media melaporkan Ismail Sabri dijadual hadir ke Ibu Pejabat SPRM esok bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan dirinya.

Pada Isnin, Azam berkata Ismail Sabri merupakan suspek bagi siasatan kes rasuah serta pengubahan wang haram susulan penemuan wang tunai kira-kira RM170 juta di dalam sebuah 'safehouse' selepas serbuan dilakukan SPRM.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Setakat ini, SPRM telah merakam percakapan 31 individu serta membekukan 13 akaun bank bernilai kira-kira RM2 juta, dengan kesemua akaun adalah sah dan aktif.