Luahan optimis itu dinyatakan Presiden Mercy Malaysia, Datuk Dr. Ahmad Faizal Mohd Perdaus, yang melihat Gaza bukan sahaja terus kuat kerana semangat rakyatnya, malah kerana sokongan yang semakin meningkat diterima dari seluruh dunia.
Mengakui proses membangunkan semula Gaza akan berdepan banyak liku dan cabaran, namun Dr Ahmad Faizal yakin penduduk Gaza bersedia menerima pembangunan yang akan membawa Palestin ke tahap lebih baik, khususnya selepas melalui keperitan tempoh peperangan berdekad lamanya.
"Bukan calang-calang orang yang boleh bertahan diuji sebegini. Saya rasa kebanyakan manusia di dunia ini mungkin telah mengaku kalah, tapi bukan rakyat Gaza kerana semangat juang mereka tinggi.
"Kalau ujian ini jatuh pada kita di Malaysia pun, belum tentu kita boleh bertahan.
"Dengan daya tahan dan semangat juang itu, kita tahu mereka boleh membangunkan diri dan keluarga, walaupun pembangunan semula akan mengambil masa.
"Mungkin juga tak semua bangunan boleh dibangunkan dengan tiba-tiba (cepat) tetapi kita yakin dengan kekuatan rakyat Palestin di Gaza, sama ada dari segi individu, keluarga, masyarakat setempat dan masyarakat besar Gaza, kita yakin harapan akan sentiasa ada," katanya ketika ditemui di majlis solidariti Together For Gaza: A Moment Of Hope Amid Devastation serta pelancaran buku foto bertajuk Humanitarian Stories: Behind The Lens of a Changing World, pada Sabtu.
Selain itu, Ahmad Faizal juga percaya kecanggihan teknologi masa kini akan turut membantu mempercepatkan dan memudahkan pembangunan semula Gaza, dengan sokongan pelbagai pihak.
Bagaimanapun, memandang ke arah situasi dalam masa terdekat, Ahmad Faizal meluahkan kebimbangan dengan komitmen pihak Israel terhadap gencatan senjata yang bermula bulan lalu itu, yang mungkin boleh membawa kepada masalah dalam mengekalkan keamanan.
Tambahnya, Mercy Malaysia akan tetap bersolidariti dan teguh dengan pendirian bahawa rakyat Palestin tidak boleh diusir, bukan sahaja atas nama undang-undang, malah hak asasi manusia.