Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata, pihaknya menyambut baik usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bersetuju menggerakkan pembangunan semula Gaza dan melancarkan tabung wakaf itu pada Isnin lepas.
"Perdana Menteri telah sebut secara khusus Malaysia dipertanggungjawabkan untuk melihat semula pembinaan hospital, masjid dan juga sekolah. Ini adalah tiga bidang yang dipertanggungjawabkan kepada kerajaan Malaysia.
"Saya mengajak semua masyarakat Islam dan bukan Islam untuk menyumbang kepada tabung wakaf pembangunan semula Gaza ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Ihya Ramadan peringkat kebangsaan, di sini, hari ini.
Beliau berkata, badan bukan kerajaan (NGO), Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) dan Majlis Agama Islam negeri akan dilibatkan dalam usaha pembangunan semula Gaza.
"Insya-Allah dengan sifat kemurahan hati yang ada dalam kalangan rakyat Malaysia, saya yakin kita akan dapat mengutip satu jumlah yang besar untuk membantu penduduk Gaza," katanya.
Mohd Na'im berkata, secara umumnya, tiga jawatankuasa dibentuk di bawah Jawatankuasa Induk Pembangunan Semula Gaza yang dipengerusikan oleh beliau dengan ia merangkumi kerjasama dengan NGO.
"(Setakat ini) rakyat masih lagi terus menyumbang dalam tabung tersebut dan nanti bila kita dapat satu jumlah, saya akan mengumumkan (jumlah dana terkumpul tabung wakaf itu)," katanya.
Beliau berkata, selain Gaza, tumpuan turut diberikan bagi membantu Universiti Al-Quds di Baitulmuqaddis selaras dengan hasrat disuarakan Imam Masjid Al-Aqsa, Sheikh Dr Ekrima Sa'id Sabri baru-baru ini untuk Malaysia membantu kemajuan di kawasan berkenaan.
Sebelum ini, Anwar berkata, Malaysia akan menggerakkan usaha untuk membina sebuah sekolah, hospital dan masjid di Gaza bagi membantu meringankan penderitaan yang ditanggung penduduk Palestin.
Perdana Menteri berkata, usaha itu akan direalisasikan dengan menggembleng sinergi dan kerjasama daripada semua pihak, termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC), NGO, sektor korporat dan swasta serta seluruh rakyat.
Pada Isnin lepas, Anwar turut mengumumkan Malaysia akan menyediakan bantuan khusus bagi sektor pendidikan dan kesihatan di Baitulmuqaddis, Palestin selain pemulihan di Gaza. - BERNAMA
