Polis Daerah Port Dickson menerima panggilan daripada orang awam berkenaan penemuan itu kira-kira jam 10.10 pagi.
Bernama
Tue Feb 04 2025
Pemeriksaan polis di kawasan itu tidak menjumpai sebarang dokumen pengenalan diri, pakaian atau senjata, selain tiada sebarang kesan perlakuan jenayah dikesan. - Foto IPD Port Dickson
SEREMBAN: Satu rangka manusia ditemui orang awam di sebuah ladang kelapa sawit di Siliau, Lukut, Port Dickson semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson DSP Muhamad Mustafah Hussin berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berkenaan penemuan itu kira-kira jam 10.10 pagi.
"Penemuan itu disedari orang awam yang mahu membaiki paip bocor di kawasan itu, mereka menjumpai satu tengkorak dan beberapa tulang dipercayai anggota badan manusia," katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Muhamad Mustafah berkata pemeriksaan di kawasan itu tidak menjumpai sebarang dokumen pengenalan diri, pakaian atau senjata selain tiada sebarang kesan perlakuan jenayah dikesan dengan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menyalurkan kepada Ketua Polis Balai Lukut Sub Inspektor Lim Hooi Boon di talian 06-6472222," katanya.