Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ia adalah sebahagian usaha untuk memperkenalkan durian premium Malaysia ke peringkat lebih tinggi dan membuka peluang komersial lebih luas, termasuk pasaran global.
Menurutnya, mengikut kajian yang dijalankan oleh pihak MARDI, rasa MS88 setanding dengan durian Black Thorn.
“MARDI sedia memberi bimbingan, tunjuk ajar dan jadikan pusat penyelidikan ini sebagai pusat untuk mereka yang berminat untuk menanam durian... boleh datang meminta nasihat dan jenis-jenis tanah dan sesuai dengan durian yang dibuat penyelidikan oleh MARDI ini.
“Memang kita tengok durian sudah jadi satu (bidang) usahawan baharu,” katanya kepada pemberita sempena lawatan ke Taman Agro Duriotourism di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Kuala Kangsar, di sini, hari ini.
Menjelaskan lanjut, Mohamad berkata, melalui penjenamaan semula itu, diharap MS88 dapat menjadi pilihan utama di kalangan penggemar durian di seluruh dunia.
Selain China, katanya kementerian sedang meninjau pasaran baharu di negara-negara Eropah dan Asia Barat, khususnya dalam bentuk industri hiliran durian.
Menurutnya, pengkomersialan varieti itu juga memberi peluang kepada petani tempatan untuk menikmati manfaat ekonomi yang lebih besar melalui peningkatan hasil dan pengeluaran durian berkualiti tinggi.
“Dengan penjenamaan semula MS88, durian ini bukan sahaja diiktiraf sebagai salah satu durian terbaik Malaysia, tetapi juga berpotensi untuk memasuki pasaran global dengan lebih agresif.
"Permintaan terhadap durian premium di negara-negara seperti China, Singapura, Eropah, dan Amerika Utara semakin meningkat, dan MARDI Super (MS88) bersedia untuk memenuhi permintaan ini dengan menawarkan kualiti yang tiada tandingan," katanya.