MELAKA: Bekas Ketua Penolong Setiausaha di Jabatan Ketua Menteri (JKM) direman lima hari bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah membabitkan penyalahgunaan kuasa dan kedudukannya pada tahun lalu.

Perintah reman terhadap suspek wanita berusia 42 tahun bermula hari ini sehingga Sabtu dikeluarkan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman selepas mendapat permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Suspek yang masih lagi dalam perkhidmatan ditahan ketika hadir di Pejabat SPRM Melaka kira-kira jam 4.50 petang pada Isnin.

Sumber berkata, bekas pegawai kanan itu disyaki meminta sumbangan Program Hari Keluarga/ Sasaran Kerja Tahunan berjumlah RM5,000 sedangkan program itu tidak wujud dan wang tersebut digunakan untuk kegunaan peribadinya.

"Suspek juga secara tidak jujur menggunakan wang sumbangan duit raya berjumlah keseluruhan RM600 yang sepatutnya diberikan kepada 30 petugas di bawah seliaannya untuk kegunaan diri," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan perintah reman tersebut. - Sinar Harian