Ringkasan AI
- SPRM akan membantu jika terdapat unsur salah laku rasuah atau salah guna kuasa yang ditemui oleh unit integriti DBKL.
- DBKL bekerjasama rapat dengan unit integriti mereka untuk menyiasat dakwaan tersebut.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya tidak mahu mengganggu entiti itu menjalankan siasatan mereka sebaliknya akan membantu sekiranya unit integriti DBKL mengesan terdapat unsur salah laku rasuah dan kuasa.
Malah menurut beliau, pihaknya juga meletakkan pegawai integriti yang dipinjamkan di DBKL.
"Buat masa ini keputusan yang diambil ialah kita biarkan DBKL menjalankan siasatan dalaman dahulu melalui unit integriti mereka (dan) unit lain-lain yang ada di bawah DBKL.
"Sekiranya terdapat sebarang unsur salah laku rasuah atau salah guna kuasa sudah tentu kes ini akan dirujuk ke SPRM," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Tambah Azam, buat masa ini pihaknya tidak mahu mengganggu siasatan dalaman mereka (DBKL).
Terdahulu, SPRM dilaporkan menyatakan kesedian membantu DBKL dalam siasatan terhadap dakwaan salah laku seorang ahli lembaga penasihat berkaitan pemberian projek bernilai RM4 juta.
Sebelum itu media melaporkan, DBKL melancarkan siasatan dalaman berhubung dakwaan salah laku seorang ahli lembaga penasihat yang dikaitkan dengan pemberian projek bernilai RM4 juta.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif, dilapor berkata, pihaknya sedang bekerjasama rapat dengan unit integriti DBKL.
Dakwaan salah laku membabitkan ahli lembaga penasihat itu yang juga seorang penerbit dan pengarah filem mula tular di media sosial baru-baru ini.
Ia membabitkan pelanggaran proses tadbir urus berkaitan perolehan projek kerja penerbitan bahan kreatif untuk DBKL yang didakwa tidak diberikan melalui tender terbuka.