Perintah reman terhadap kedua-dua lelaki berusia lingkungan 30-an itu dikeluarkan Majistret Syahirah Abdul Salim selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret di sini.
Menurut sumber, suspek pertama yang ditahan pada Khamis direman bermula semalam hingga 25 Feb manakala suspek kedua yang ditahan pagi tadi di pejabat SPRM Pulau Pinang ketika hadir memberikan keterangan, direman hingga 26 Feb.
"Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki bersubahat dan melakukan perbuatan tersebut pada Januari dan Februari tahun ini. Kedua-dua suspek dipercayai telah meminta wang rasuah kira-kira RM3,000 dan telah menerima 'pendahuluan' kira-kira RM1,800 pada Januari lepas," katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang Datuk Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
-- BERNAMA
