Ringkasan AI
- Reformasi pendidikan berdasarkan tiga elemen utama iaitu keutamaan, keselarasan, dan kebersamaan untuk meningkatkan kualiti pendidikan dan pengurusan sekolah.
- Lapan keutamaan termasuk isu keciciran murid, peningkatan profesionalisme guru, pengukuhan kepimpinan pendidikan MADANI, dan penguasaan literasi serta numerasi murid.
- Pendekatan strategik berasaskan dokumen rujukan seperti Agenda Reformasi Pendidikan dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025. Sistem pemantauan dan pengesanan keberhasilan sekolah digunakan untuk menilai dan menambah baik strategi sedia ada.
Beliau berkata reformasi berkenaan berdasarkan tiga elemen iaitu keutamaan, keselarasan dan kebersamaan yang menjadi panduan dalam setiap tindakan untuk meningkatkan kualiti pendidikan serta pengurusan sekolah secara menyeluruh.
Azman berkata lapan keutamaan yang perlu ditangani tahun ini, antaranya isu keciciran murid, peningkatan profesionalisme guru, pengukuhan kepimpinan pendidikan MADANI, mengukuhkan pencapaian pentaksiran antarabangsa serta penguasaan literasi dan numerasi murid.
"Pengoperasian pendidikan di KPM, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah memainkan peranan penting bagi memastikan 10,237 sekolah di seluruh negara berkualiti dan anak-anak menjadi generasi MADANI seperti yang dihasratkan.
"Reformasi pendidikan ini disasarkan kepada tiga kategori sekolah iaitu Sekolah Fokus, Sekolah Aspirasi dan Sekolah Inspirasi bagi memastikan pendekatan yang bersesuaian dengan keperluan setiap institusi," katanya pada majlis amanat sempena pembukaan sesi persekolahan 2025/2026 di sini hari ini.
Azman berkata bagi menyokong usaha itu, pendekatan strategik berasaskan dokumen rujukan seperti Agenda Reformasi Pendidikan, 7 Teras Nadi Keunggulan, Dasar Pendidikan Digital dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 digunakan sebagai panduan utama.
"Dokumen ini memberikan hala tuju yang jelas dalam pelaksanaan reformasi bagi memastikan keselarasan antara semua pihak yang terlibat," katanya.
Azman berkata KPM tahun ini juga rancak merancang PPPM 2026-2035 dan Kurikulum Persekolahan 2027.
"Kedua-dua perkara ini memberi penekanan kepada fleksibiliti, kontekstual dan keperluan teknologi untuk memastikan pendidikan negara bukan sahaja relevan dengan keperluan masa kini, tetapi bersedia untuk menghadapi cabaran masa hadapan," katanya.
Azman berkata bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan reformasi, sistem pemantauan dan pengesanan keberhasilan sekolah digunakan melalui beberapa instrumen termasuk SKPM Kualiti @ Sekolah, School Support Tracker (ScST), Indeks Transformasi JPN dan PPD, Dialog Prestasi dan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).
"Instrumen ini berfungsi untuk menilai tahap pencapaian serta menambah baik strategi sedia ada.
"Keberhasilan reformasi ini akan menghasilkan sekolah berkualiti serta melahirkan generasi MADANI yang seimbang dari segi jasmani, emosi rohani, intelek dan sahsiah, sekali gus memperkukuh sistem pendidikan negara ke arah lebih cemerlang," katanya.
-- BERNAMA
