KOTA BHARU: Seorang remaja berusia 17 tahun parah apabila motosikal dinaiki terbabit kemalangan dengan kereta peronda polis yang menggelak anjing melintas di Kilometer 10 Jalan Jeli-Dabong di Jeli pada Khamis.

Kemalangan berlaku pada jam 9.20 malam.

Ketua Polis Daerah Jeli, Superintenden Saari Yaacob berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan itu melalui Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli.

“Kemalangan melibatkan sebuah kereta peronda polis jenis Honda Civic dan sebuah motosikal jenis honda EX5 dinaiki remaja berkenaan.

“Siasatan awal mendapati kereta peronda dipandu dari arah Kuala Balah ke Jeli dan cuba mengelak anjing yang tiba-tiba melintas dari kiri jalan ke kanan jalan lalu sebuah motosikal yang datang dari arah belakang melanggar sisi kanan kereta peronda terbabit,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Berikutan itu, beliau memberitahu, penunggang motosikal tersebut mengalami cedera parah di muka dan patah tangan kanan.

“Bantuan awal diberikan di tempat kejadian oleh pihak polis Jeli dan orang awam.

“Mangsa dibawa ke Hospital Tanah Merah untuk rawatan lanjut,” katanya.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan masih dijalankan.

“Saya meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian menyalurkan kepada pihak polis bagi membantu siasatan.

“Maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD jeli di talian 09-9440222,” katanya. - Sinar Harian