KUALA LUMPUR: RichWorks Group of Companies mengumumkan penjenamaan semula RichWorks International Sdn. Bhd. kepada RichWorks Academy Sdn. Bhd. (RichWorks Academy), yang akan memberi tumpuan kepada latihan dan pembangunan individu serta organisasi dalam mencapai kejayaan mampan.

Presiden dan Pengasas RichWorks Group of Companies, Datuk Wira Dr Azizan Osman, berkata langkah ini bertujuan memenuhi keperluan individu yang ingin mencungkil potensi diri dalam pelbagai aspek kehidupan dan kerjaya.

“Visi kami adalah untuk menjadikan RichWorks Academy sebagai pusat utama dalam kepimpinan, perniagaan, dan transformasi diri, memberi fokus kepada pemerkasaan individu dan organisasi bagi mencapai kejayaan mampan,” katanya.

RichWorks Academy akan menawarkan program latihan dalam kepimpinan, keusahawanan asas, transformasi minda dan kejayaan peribadi.

Pada masa sama, RichWorks Consulting Group Sdn. Bhd. (RCG) akan terus memberi bimbingan perniagaan dan strategi pertumbuhan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berpendapatan tinggi, sejajar dengan pengumuman sebelum ini.

Turut hadir pada majlis pengumuman tersebut ialah Pengarah Eksekutif RichWorks, Hasnita Ahmad; Ketua Pegawai Operasi, Suley Nordyana Yahya; Ketua Pegawai Perniagaan, Radz Mohd dan Ketua Pegawai Bimbingan dan Pementoran, Hafiz Jasmi.

Tambahnya, perubahan RichWorks Academy bukan sekadar penjenamaan, tetapi membawa misi penting dalam membudayakan pembelajaran berterusan bagi meningkatkan kepimpinan, pertumbuhan perniagaan dan kecemerlangan diri.

“RichWorks Academy memberi tumpuan kepada latihan keusahawanan dan transformasi diri yang terbukti berkesan.

“Program akademi ini berpaksikan nilai teras ELEVATE yang merangkumi Excellence (Kecemerlangan), Learning (Pembelajaran), Empowerment (Pemerkasaan), Vision (Visi), Adaptability (Kebolehsesuaian), Transformation (Transformasi) dan Ethics (Etika),” ujarnya.

RichWorks Academy menyasarkan untuk membantu individu dan PKS dengan pendapatan bawah RM30,000 setahun berkembang ke tahap lebih tinggi serta menyokong mereka dalam mencapai kejayaan.

Penjenamaan semula ini dijangka selesai dalam tempoh tiga bulan dan akan dilancarkan sepenuhnya menjelang pertengahan tahun ini.

Sebagai langkah awal, program eksklusif Transformasi360 akan diperkenalkan pada bulan Mei sebagai pengganti kepada program terdahulu Intensif Magnet Kekayaan & Kejayaan (IMKK) dan Nak Ubah Hidup (NUH).

“Program ini direka khas untuk membantu peserta menguasai potensi diri, kewangan, dan kejayaan dengan strategi yang terbukti berkesan.

“Sama ada anda seorang usahawan, profesional atau individu yang ingin melakukan perubahan dan mencapai kejayaan, saya akan membimbing anda dengan ilmu, strategi, dan tindakan yang telah terbukti berkesan,” jelas Azizan.

Orang ramai yang berminat boleh mendapatkan tawaran awal dan menjadi peserta pertama dengan melayari www.transformasi360.com