Menurut Ketua Pegawai Perniagaan RichWorks, Radz Mohd., program itu dilaksanakan melalui Pertubuhan Kebajikan RichWell (RichWell) bagi menyokong usaha Persatuan Jom Cuci Masjid membantu komuniti setempat.
“Alhamdulillah, sukarelawan kami terdiri daripada staf RichWorks, usahawan pementoran Titanium dan jemputan daripada Persatuan Jom Cuci Masjid bagi menjalankan kerja amal ini.
“Semoga usaha ini dapat memberi manfaat kepada mereka yang memerlukan,” katanya dalam satu kenyataan, katanya.
RichWell turut menyumbang 50 kampit beras dan barangan keperluan asas kepada golongan asnaf di kawasan sekitar.
Turut hadir, Pengerusi Persatuan Jom Cuci Masjid, Abdul Jalil Kamaluddin, Penasihat Sifu Bikerz, Ustaz Hanafiah Abdul Malek dan Penaung RichWell, Prof. Datuk Wira Dr. Azizan Osman.
Antara aktiviti yang dijalankan termasuk solat Dhuha berjemaah, sesi bicara santai, kerja mengecat dan mencuci masjid, serta membersihkan kawasan perkuburan bersama penduduk kampung.
Jelasnya, aktiviti seperti ini bukan sahaja mengukuhkan hubungan komuniti, tetapi juga menyemai semangat gotong-royong dan keprihatinan terhadap mereka yang memerlukan.
“RichWorks terus komited melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang memberi impak positif kepada masyarakat.
“Kami juga telah menjalankan program bimbingan keusahawanan selama tiga malam yang ditaja sepenuhnya pada awal tahun ini untuk usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Tahun ini, kami berhasrat membantu lebih ramai usahawan mencapai jualan lebih RM10 juta setahun,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Jom Cuci Masjid, Abdul Jalil berkata pihaknya mengalu-alukan penyertaan badan korporat, syarikat dan orang ramai dalam kempen Jom Cuci Masjid yang diadakan setiap bulan.
“Alhamdulillah, kempen ini telah memasuki edisi ke-55. Sekiranya ada pihak yang ingin menyumbang atau menyertai program ini, boleh menghubungi Persatuan Jom Cuci Masjid di talian 019-2787064,” tambahnya.