Sejak pembukaannya pada 2021, RMH-HTA telah memberi manfaat kepada lebih 4,000 keluarga dengan menyediakan penginapan sementara yang selesa dan berdaya mampu kepada ibu bapa pesakit pediatrik.
Presiden RMHC Malaysia, Datuk Azmir Jaafar, berkata RMHC komited dalam usaha menyediakan tempat tinggal kepada keluarga pesakit kanak-kanak di seluruh negara.
“RMH-HTA adalah sebuah fasiliti strategik di pusat perubatan kanak-kanak ibu kota yang memberikan kemudahan kepada keluarga dari seluruh negara untuk sentiasa dekat dengan anak mereka dalam persekitaran yang selesa.
“Kami menerima kunjungan yang sangat menggalakkan, yang mana kira-kira 4,000 keluarga telah menetap di sini sejak fasiliti ini mula beroperasi. Perasmian ini bukan sahaja meraikan pencapaian RMH-HTA tetapi juga menghargai dedikasi doktor dan staf perubatan HTA dalam memberikan rawatan terbaik kepada kanak-kanak,” katanya.
Majlis perasmian turut dihadiri pemegang saham McDonald’s Malaysia dari Kumpulan Reza, Arab Saudi, Abdulrahman Alireza, bersama Pengurus Besar RMHC Malaysia, Nasri Nordin dan Pengarah Hospital Tunku Azizah, Dr Shamsul Anuar.
RMH-HTA yang terletak di tingkat 10 kompleks parkir hospital itu dilengkapi dengan 20 bilik keluarga yang mampu menampung sehingga 80 penghuni pada satu masa.
Sementara itu, Nasri Nordin, berkata fasiliti itu bukan sahaja membantu dari segi penginapan tetapi juga mengurangkan beban kewangan ibu bapa yang perlu menjaga anak yang sedang menerima rawatan.
“Kami bukan hanya menyediakan penginapan yang selesa, yang boleh dikatakan lengkap sepenuhnya. Ada dapur, ruang dobi, ruang makan, surau dan ruang permainan kanak-kanak. Jadi, keluarga boleh menginap dalam suasana rumah yang selesa,” jelasnya.
![Abdulrahman Alireza menyampaikan sumbangan sebanyak RM100,000 kepada RMHC Malaysia ketika majlis perasmian. - Gambar RMHC Malaysia](https://img.astroawani.com/2025-02/61739613244_freesize.jpg)
Dalam majlis yang sama, Abdulrahman Alireza turut mengumumkan sumbangan peribadi sebanyak RM100,000 kepada RMHC Malaysia bagi menyokong operasi semua Rumah Ronald McDonald di seluruh negara.
“Kami berbesar hati sebagai sebuah jenama untuk terlibat dalam inisiatif ini dan amat berbangga dapat berbuat demikian. Saya baru sahaja melawat dan melihat sendiri keadaan kanak-kanak di sini. Ia benar-benar menyentuh hati, satu penghormatan buat kami,” ujarnya.
Rumah Ronald McDonald pertama di Malaysia dibuka di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM-UKM) pada 1999, diikuti RMH Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kelantan pada 2019 dan RMH Hospital Wanita & Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) pada 2023.
RMHC Malaysia turut merancang untuk membuka fasiliti RMH kelima di Hospital Umum Sarawak menjelang 2026 sebagai sebahagian daripada komitmen jangka panjang dalam menyediakan kemudahan kepada keluarga pesakit kanak-kanak di seluruh negara.
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)