Dalam kejadian dipercayai berlaku akibat litar pintas awal pagi ini, Sarihanin Shahruddin tersedar dari tidur selepas mendapati rumah dalam keadaan gelap.
“Saya bangun tidur, tengok rumah gelap. Jadi saya berjalan ke kotak suis untuk memeriksa sama ada rumah 'black-out'.
“Saya terkejut bila nampak ruangan atas sudah dipenuhi api yang marak. Saya segera kejutkan mak dan adik beradik lain,” katanya kepada Astro AWANI.
Menurut Sarihanin, ahli keluarga menanggung kerugian sebanyak RM100,000 termasuk kenderaan yang rosak dijilat api.
Tambahnya, selepas membuat panggilan kecemasan, pasukan anggota bomba Kuala Kangsar tiba di lokasi kejadian sekitar jam 5 pagi.
"Kami hanya mampu lihat api membakar rumah kami dan perasaan ketika itu memang sayu kerana sudah tinggal di sini sejak 20 tahun lalu.
Dalam masa sama, dia bersyukur bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku dalam kejadian.
“Kami terima ketentuan takdir dan bersyukur mak serta adik beradik lain selamat.
“Sekarang kami berada di rumah kakak untuk sementara waktu,” katanya.
Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Kuala Kangsar Datuk Maslin Sham Razman turut melawat semua mangsa kejadian pada pagi ini.