KLANG: Dua lelaki melecur hampir 75 peratus manakala tiga buah kenderaan musnah selepas sebuah rumah kedai yang menempatkan bengkel di Jalan Sungai Puloh 5, Kawasan Perindustrian Sungai Puloh, di sini terbakar  pada  Sabtu.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berkenaan pada pukul 4.54 petang sebelum menggerakkan 17 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Klang Utara, Klang Selatan dan Kapar ke lokasi kebakaran.

Beliau berkata, operasi pemadaman dan menyelamat turut melibatkan dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu  jentera lori tangki.

"Api berjaya dikawal kira-kira pukul 5.10 petang dan kejadian itu  melibatkan sebuah rumah kedai tiga tingkat yang menempatkan bengkel.

"Bahagian bawah bangunan itu dianggarkan musnah 85 peratus manakala dua lelaki mengalami kecederaan dengan kesan lecur sehingga 75 peratus," katanya dalam kenyataan di sini, pada Sabtu.

Ahmad Mukhlis memberitahu, punca kejadian masih lagi dalam siasatan.