Menurut KazanForum 2025 dalam satu kenyataan, menerusi hubungan ini, Malaysia berpotensi meraih manfaat besar dalam sektor aeroangkasa, teknologi, pertanian, keselamatan makanan, perdagangan dan pelaburan.
Pada 2023, jumlah dagangan dua hala Malaysia-Rusia mencatat AS$3.5 bilion, sementara bagi separuh pertama 2024, ia meningkat 15 peratus kepada AS$1.6 bilion.
Faktor yang dijangka merancakkan lagi perdagangan termasuk peningkatan eksport sumber tenaga Rusia seperti arang batu dan minyak serta pengukuhan kerjasama dalam sektor mikroelektronik.
Mulai 2025, perjanjian penghapusan cukai dua kali antara Malaysia dan Rusia akan berkuat kuasa, yang bakal mengurangkan beban cukai syarikat dan menarik lebih banyak pelaburan.
Dalam sektor pelancongan pula, laluan penerbangan terus antara Kuala Lumpur dan Moscow yang dijangka disambung semula tahun depan berpotensi meningkatkan ketibaan pelancong Rusia ke Malaysia, yang telah mencatat peningkatan hampir 30 peratus pada 2024 kepada kira-kira 142,000 orang.
Kesemua kerjasama ini dijangka diperkukuh menerusi Forum Ekonomi Antarabangsa Rusia - Dunia Islam: KazanForum 2025, yang akan berlangsung pada 13 hingga 18 Mei di Kazan, Rusia.
Pada forum tersebut, Malaysia akan memainkan peranan penting dalam Forum Seni Bina dan Pembinaan Antarabangsa Kazanysh: Unity of Diversity yang berlangsung pada Februari 2025, selaras dengan kepakarannya dalam perancangan bandar moden.
Penyertaan dalam KazanForum 2025 juga memberi peluang kepada Malaysia untuk terlibat dalam Simposium Antarabangsa "Persekitaran Bandar Islam" (IBEIS 2025) yang menumpukan kepada pembangunan bandar Islam mampan.
KazanForum 2025 dijangka menjadi platform utama memperkukuh hubungan ekonomi antara Rusia dan negara-negara Islam.
Pada 2024, forum ini menarik lebih 20,000 peserta, termasuk hampir 12,000 delegasi perniagaan dari 87 negara, serta menyaksikan pemeteraian lebih 120 perjanjian.
Tahun depan, lebih 100 sesi dan acara bakal diadakan merangkumi pelbagai sektor termasuk perniagaan, kewangan Islam, perdagangan, teknologi dan industri halal.
Salah satu acara bersejarah dalam forum ini ialah Kongres Menteri-Menteri Kebudayaan OIC yang pertama kali diadakan di Rusia, selain pemilihan Kazan sebagai Ibu Kota Kebudayaan Dunia Islam 2026.
Forum ini juga akan menganjurkan Persidangan Antarabangsa AAOIFI yang buat pertama kali diadakan di
Rusia bagi membincangkan kewangan Islam dan pelaburan mampan.
Penyertaan Malaysia dalam KazanForum 2025 dijangka membuka lebih banyak peluang dalam perdagangan, pelaburan, teknologi, pelancongan serta pertukaran budaya dengan Rusia dan dunia Islam.
