Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata ketika ini hanya 15 negara yang telah melaksanakan akta seumpama ini dan langkah meluluskan RUU itu dijangka memberikan perlindungan lebih baik kepada pekerja dalam sektor berkenaan.
Beliau berkata empat perkara asas RUU berkenaan antaranya memperkenalkan definisi rasmi bagi pekerja gig yang sebelum ini tidak termaktub dalam akta kerja sedia ada.
"Dengan adanya definisi ini, pekerja gig akan mendapat perlindungan yang sewajarnya seperti pekerja sektor lain. Selain itu, RUU ini turut memberi perhatian kepada isu pendapatan pekerja gig, khususnya dalam menangani persaingan harga yang terlalu sengit.
"RUU ini juga akan memperkenalkan mekanisme bagi menyelesaikan sebarang pertikaian antara pekerja gig dan penyedia platform di samping melihat aspek perlindungan keselamatan seperti caruman untuk Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi dialog awam bersama pihak berkepentingan dan pemain industri berhubung draft RUU Pekerja Gig 2025 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.
Sim berkata jika semua pihak bersetuju dan tiada perkara berbangkit, draf terkini RUU itu akan dibawa ke mesyuarat Kabinet kelak untuk kelulusan sebelum dijangka dibentangkan di sidang Parlimen kali ini dalam tempoh dua minggu dari sekarang.
"RUU ini telah dibincangkan sejak 2019 jadi saya minta kerjasama daripada semua pihak sama ada penunggang (rider), majikan, pihak yang berkepentingan dan Ahli Parlimen tak kira apa parti supaya boleh berjuang (menyokong) bersama-sama merealisasikan undang-undang baharu ini," katanya.
Sementara itu, ketika ditemui pemberita, Sim berkata pihaknya turut mengalu-galukan pembabitan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam RUU itu untuk membantu pekerja gig dari segi caruman.
-- BERNAMA
