Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar serta Desa Pulau Pinang H'ng Mooi Lye berkata kerajaan negeri melalui Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) telah mewujudkan Garis Panduan Pelaksanaan Pembaharuan Semula Bandar (Pembangunan Perumahan) pada 2022.
"Tujuan garis panduan itu diwujudkan kerana terdapat sebahagian unit kediaman lama telah melebihi 40 tahun di Pulau Pinang dan ini menyebabkan kemerosotan integriti struktur serta lebih memburukkan keadaan, wujud masalah semasa tapak dari aspek fizikal, sosial dan pengurusan.
"Dengan pemakaian Garis Panduan Pelaksanaan Pembaharuan Semula Bandar (Pembangunan Perumahan) Pulau Pinang itu, kerajaan negeri berhasrat meningkatkan kualiti persekitaran dan berdaya huni, mengoptimumkan infrastruktur, kemudahan awam, penggunaan tanah dan sebagainya," katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Beliau berkata kerajaan negeri juga telah meluluskan beberapa projek perintis pembaharuan semula bandar di bawah Pelan Induk Perancangan Pembangunan Rumah Mampu Milik yang akan dilaksanakan oleh LPNPP.
H'ng berkata setakat suku pertama 2025, sebanyak lima projek telah dikenal pasti melibatkan 6,837 unit kediaman sedia ada dan di bawah projek berkenaan, pemilik kediaman mendapat unit gantian lebih luas serta selesa dilengkapi pelbagai kemudahan berbanding unit asal yang kecil dan tanpa tempat letak kenderaan.
Beliau berkata unit gantian itu diberikan secara percuma dan antara projek pembaharuan semula bandar adalah flat di Mahsuri, Bayan Lepas, Padang Tembak dan Taman Free School di bahagian pulau, manakala di Seberang Perai pula melibatkan flat Taman Siakap dan rumah pangsa Mak Mandin.
"Inisiatif Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) adalah untuk memastikan projek-projek pembaharuan semula bandar dapat dilaksanakan dengan lancar dan menjaga hak serta kepentingan pemilik asal yang terlibat dalam projek pembaharuan.
"Akta berkenaan juga digubal berdasarkan keperluan mewujudkan badan kawal selia dan badan pelaksana bagi mentadbir pelaksanaan pembaharuan semula bandar serta meningkatkan sumber ekonomi baharu bagi kawasan bandar," katanya.
Beliau berkata usaha Kerajaan Persekutuan untuk mewujudkan akta itu bukan mudah kerana ia perlu mengambil kira kekangan perundangan sedia ada dan pelaksanaannya juga perlu mendapatkan persetujuan pemilik hartanah terlibat melalui perundingan dan bukan secara paksaan.
"Kerajaan negeri juga ingin menegaskan bahawa Rang Undang-Undang (RUU) PSB tidak akan meminggirkan, mengancam atau merampas hak golongan tertentu berdasarkan kaum atau pendapatan khususnya golongan B40," katanya.
-- BERNAMA
