Menterinya, Nga Kor Ming berkata, RUU itu ketika ini dalam proses semakan oleh Jabatan Peguam Negara sebelum dibentangkan kepada Mesyuarat Jemaah Menteri pada bulan depan.
"Setelah mendapat kelulusan Jabatan, RUU ini akan dibentangkan pada Mesyuarat Jemaah Menteri yang dijadualkan pada Mac, diikuti dengan Mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan pada Mei ini," katanya dalam kenyataan di sini, pada Selasa.
RUU itu menekankan prinsip-prinsip yang telah digariskan terutamanya dalam memastikan tiada pihak yang akan tertindas dalam proses pembaharuan semula bandar.
Ia juga mengandungi peruntukan khas bagi melindungi hak dan kepentingan pemilik untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan hak pemilikan, serta proses dan prosedur pembaharuan semula bandar.
Selain itu, RUU berkenaan turut menyediakan exit plan atau Pelan Kontigensi Pembaharuan Semula Bandar (dalam bentuk penyediaan perundangan subsidiari iaitu Kaedah-Kaedah) bagi mengatasi masalah-masalah sekiranya suatu projek pembaharuan semula bandar itu tidak berjaya bagi menjaga hak dan kepentingan pelbagai pihak yang terlibat dengan pembaharuan semula bandar.
KPKT turut memaklumkan sesi libat urus bersama pelbagai pihak berkepentingan sudah diadakan bagi mendapat maklum balas dalam memperhalusi draf pindaan itu sebelum diperkenalkan.
Semua maklum balas yang diterima daripada sesi libat urus tersebut akan dipertimbangkan dalam memastikan dasar yang digubal itu dilaksanakan dengan efektif dan menyeluruh.
