KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB) tidak akan meminggirkan, mengancam atau merampas hak golongan tertentu berdasarkan kaum atau pendapatan khususnya golongan B40, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Beliau menjelaskan penetapan kriteria kawasan yang terlibat adalah berdasarkan kepada keadaan fizikal, infrastruktur, utiliti, sosial dan pengurusan hartanah komuniti yang memberi kesan kepada kemerosotan kualiti hidup, ekonomi dan persekitaran yang tidak lagi kondusif atau mendatangkan bahaya.

Selain itu jelasnya, pelaksanaan PSB juga perlu mendapatkan persetujuan pemilik hartanah melalui perundingan dan bukan pengambilan secara paksa selain turut memastikan pemaju tidak menjalankan rundingan dengan pemilik hartanah tanpa campur tangan kerajaan.

"Kaedah perundingan yang dijalankan adalah secara menyeluruh antara pihak berkuasa Persekutuan atau negeri dengan setiap pemilik hartanah yang sah dan berdaftar serta ia dikemudi oleh Jawatankuasa Eksekutif yang dipengerusikan oleh wakil kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Dewan Rakyat hari ini setelah dibahas 27 Ahli Parlimen.

Beliau berkata asas utama penggubalan RUU PSB itu adalah berteraskan empat tonggak iaitu Urban Redevelopment, Urban Regeneration, Urban Revitalisation dan Urban Conservation dengan mengambil kira 10 prinsip untuk memastikan ketelusan pentadbiran kerajaan dan jaminan mengekalkan hak yang dinikmati oleh pemilik hartanah berdaftar.

"Antara prinsip utama PSB adalah mendapatkan persetujuan pemilik, pengekalan penduduk asal dan menjaga kepentingan pemilik tanah serta kos caj penyenggaran yang sesuai," katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata kerajaan Persekutuan atau negeri akan menyediakan pelbagai insentif untuk memacu keberhasilan pelaksanaan projek PSB dan pemilik hartanah akan kekal mendapat kawasan yang sama atau pemilikan hartanah baharu yang lebih tinggi nilainya dengan persekitaran dan infrastruktur baharu.

"Kaedah perundingan dengan pemilik hartanah akan memastikan pemilik hartanah menerima semula segala hak serta kepentingan yang wajar terutamanya pemilikan semula hartanah baharu sesuai dengan nilai hartanah sedia ada dan nilaian masa hadapan akan ditampung oleh pemaju berdasarkan unjuran keuntungan yang akan dikawal dan dipersetujui oleh kerajaan," katanya.

Selain itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan berkata projek PSB akan dimulakan oleh pihak berkuasa, jika mencapai ambang persetujuan antara 75 hingga 80 peratus daripada pemilik hartanah.

"Kegagalan mencapai nilai ambang tersebut, pihak berkuasa tidak akan meneruskan projek PSB dengan mengambil kira sepenuhnya pandangan dan kehendak penduduk," katanya.

Sementara itu, Nga menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memastikan peniaga bazar Ramadan yang telah memperoleh kelulusan tapak mengusahakan sendiri tapak jualan berkenaan dan tidak mengalibabakan kelulusan secara sewa atau menjual semula lesen itu kepada pihak ketiga.

"Sekiranya terdapat mana-mana peniaga yang mengingkari kelulusan tersebut dengan memindah milik sewa atau menjual semula lesen, PBT hendaklah membatalkan lesen tersebut serta-merta dan tidak boleh berkompromi dalam isu ini," katanya.

-- BERNAMA