Menurut Perdana Menteri, apabila diluluskan kelak, RUU itu akan memberi lebih autonomi kepada Parlimen dalam melaksanakan tugasnya, sekali gus memastikan sistem demokrasi negara lebih matang dan bebas daripada pengaruh luar.
“Ia juga beri ketetapan (petanda) tentang kematangan proses demokrasi dalam negara. Parlimen mercu tanda kebebasan bersuara Ahli Parlimen, tetapi tidak boleh terlalu terikat dengan proses perkhidmatan awam secara menyeluruh
“Itu disebut RUU yang akan dibentangkan esok, yang tentunya perlukan dukungan dua pertiga Ahli Parlimen,” katanya ketika berucap pada pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri, di sini, hari ini.
Hadir sama kedua-dua Timbalan Perdana Menteri; Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta Menteri-menteri di Jabatan Perdana Menteri.
RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 yang bertujuan mewujudkan Perkhidmatan Parlimen sebagai entiti berasingan daripada perkhidmatan awam, telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 24 Februari lalu.
Sementara itu, Anwar berkata, RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 mencerminkan kematangan sistem
demokrasi negara di bawah pentadbiran kerajaan MADANI.
Beliau menjelaskan, RUU ini yang memerlukan sokongan dua pertiga Ahli Parlimen, bertujuan memperkasakan institusi Parlimen sebagai simbol kebebasan bersuara dan memastikan ia berfungsi secara lebih bebas.
Menurutnya, Parlimen tidak seharusnya terikat sepenuhnya dengan sistem perkhidmatan awam, sebaliknya, perlu diberi ruang untuk beroperasi secara lebih autonomi demi memperkukuh peranan institusi tersebut.
