KUALA LUMPUR: Rang Undang-undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen akan membuka lebih banyak ruang penyertaan wakil rakyat dalam pelbagai prosiding institusi perundangan berkenaan.


Ringkasan AI
  • Penyertaan Wakil Rakyat: RUU ini akan membuka lebih banyak ruang untuk penyertaan wakil rakyat dalam pelbagai prosiding institusi perundangan, membolehkan isu-isu rakyat dibawa ke peringkat lebih tinggi dengan lebih pantas dan meluas.
  • Penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas: RUU ini akan membuka peluang kepada penubuhan lebih banyak Jawatankuasa Pilihan Khas, dengan Majlis Perkhidmatan Parlimen mempunyai kuasa untuk menambah bilangan kakitangan dan menyediakan perjawatan bagi kakitangan pakar.
  • Usul Persendirian: RUU ini akan memberi peluang kepada lebih banyak usul persendirian untuk dibahaskan dalam Dewan Rakyat, memberi ruang kepada ahli Dewan Rakyat untuk mengangkat usul-usul daripada ahli parlimen pembangkang.


Penganalisis berpendapat sekiranya RUU berkenaan diluluskan dan dilaksanakan, ia juga membolehkan pelbagai isu rakyat dibawa ke peringkat lebih tinggi dengan lebih pantas dan meluas.

Dalam hal berkenaan, Pengarah Eksekutif Institut Reformasi Politik & Demokrasi (REFORM), Idzuafi Hadi Kamilan berkata, RUU berkenaan akan membuka peluang kepada penubuhan lebih banyak Jawatankuasa Pilihan Khas. 

“Majlis Perkhidmatan Parlimen akan ada kuasa menambah bilangan kakitangan atau menyediakan perjawatan bagi kakitangan pakar untuk setiap JKP. 

“Saya pasti dengan dana mencukupi, perjawatan mencukupi dan pakar rujuk mencukupi akan menyokong JKP di parlimen untuk bergerak lebih aktif dalam tempoh tiga tahun ke depan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Isnin.

Dalam temu bual sama, Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Pentadbiran & Politik Universiti Malaya (UM), Mohammad Tawfik Yaakub pula berpandangan RUU ini akan beri peluang kepada lebih banyak usul persendirian diangkat dalam Dewan Rakyat untuk dibahaskan.

“Bagi saya, perkara yang penting adalah untuk kita lihat ini sebagai satu langkah reformasi yang berani untuk beri ruang kepada ahli Dewan Rakyat untuk angkat usul persendirian. 

“Sebelum ini, bising di Dewan Rakyat mengenai tidak wujud ruang untuk usul-usul daripada ahli parlimen pembangkang dinaikkan dalam Aturan Urusan Mesyuarat. Bukan sekadar kita hendak melantik kakitangan atau sumber kewangan diurus sendiri oleh parlimen,” ujarnya.

Untuk konteks, RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025 dan RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 bertujuan mereformasi institusi dan penambahbaikan terhadap institusi demokrasi utama negara iaitu Parlimen, dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada Isnin.

RUU Perkhidmatan Parlimen antara lain bertujuan menubuhkan Perkhidmatan Parlimen yang menjadi suatu perkhidmatan berasingan daripada perkhidmatan awam. 

Ia juga memperuntukkan penubuhan Majlis Perkhidmatan Parlimen yang berfungsi antaranya melantik dan menentukan terma dan syarat pelantikan anggota Perkhidmatan Parlimen, mengawasi semua perkara kewangan berhubungan Perkhidmatan Parlimen dan membangunkan serta melaksanakan program dan latihan berhubungan dengan Perkhidmatan Parlimen.

Menerusi RUU itu, kerajaan hendaklah mengadakan dana mencukupi bagi Perkhidmatan Parlimen setiap tahun untuk membolehkan Majlis Perkhidmatan Parlimen melaksanakan fungsinya.