Menurut Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dalam kenyataan hari ini, RUU tersebut bakal mewujudkan sebuah Majlis Parlimen yang akan dipengerusikan secara bersama oleh Yang di-Pertua Dewan Negara dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat.
Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata, RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 merupakan langkah penting dalam mereformasi institusi demokrasi negara.
RUU Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2025 pula akan dibawa bagi membolehkan Yang di-Pertua Dewan Negara dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat menganggotai Majlis Parlimen tersebut.
Jemaah Menteri turut memutuskan bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said akan membuat bacaan pertama dan memperincikan kedua-dua RUU berkenaan di Dewan Rakyat pada Isnin, 24 Februari 2025.
Bacaan kali kedua pula dijangka dilakukan Perdana Menteri, Datuk’ Seri Anwar Ibrahim, pada 4 Mac 2025.
Fahmi menyifatkan langkah ini sebagai bukti komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkukuh institusi demokrasi dan melaksanakan agenda reformasi institusi negara.
