Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, ia kerana melalui pindaan akta tersebut, projek pembangunan yang sebelum ini di bawah pembiayaan kerajaan dan sektor swasta kini diambil alih sepenuhnya oleh pihak pemaju.
Ujar beliau, situasi berkenaan dijangka menyebabkan berlakunya kenaikan harga termasuk dari segi penyelenggaraan, cukai taksiran dan kos sampingan lain.
“Bayangkan kos penyelenggaraan di flat dulu mungkin RM50 sebulan, selepas ini RM500 sebulan.
“Tepuk dada tanya selera. Ada tak orang yang berpendapatan bawah RM3,000 isi rumah mampu bayar RM500 sebulan (selepas naik) daripada RM50 sebulan.
“Contohnya sebelum ini bawah flat ada kedai mamak jual roti canai RM1.20. Selepas ini apabila bina kondominium mewah berharga RM500,000, kedai mamak sudah jadi bistro harga roti canai pula naik RM20,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Wacana Sinar edisi 474 bertajuk ‘Betulkah Akta PSB Hendak Pinggirkan Rakyat?’ pada Selasa.
Program dihoskan oleh Ahmad Fahmi Mohd Samsudin dan turut dibarisi panelis lain iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Damansara, Muhammad Izuan Ahmad Kasim.
Menurut Syed Saddiq, kerajaan dicadangkan supaya menaikkan nilai ambang melibatkan peratusan persetujuan pemilik hartanah sebelum projek pembangunan tanah atau premis dimulakan sekurang-kurangnya pada kadar 95 peratus.
Katanya, kadar nilai yang ditetapkan ketika ini iaitu pada 75 peratus atau 51 peratus itu disifatkan terlalu rendah dan tidak munasabah untuk dilaksanakan.
“Beliau (Perdana Menteri) hendak memetik banyak contoh negara luar seperti Hong Kong dan Singapura, saya telah nyatakan dalam ucapan supaya lakukan perbezaan yang ketara antara Malaysia dengan kedua-dua negara tersebut, jangan samakan.
“Kalau kerajaan kata (nilai ambang) 100 peratus tidak boleh, sekurang-kurangnya kaji 95 peratus, tidak boleh 75 peratus itu terlalu rendah,” ujarnya.
Selain itu, ujar Syed Saddiq, sebarang bayaran pampasan kepada pemilik hartanah perlu diinstitusikan atau diaktakan terlebih dahulu supaya pemaju tidak sekadar memberi janji kosong sahaja.
“Apabila ada ratusan projek pembangunan, tak mungkin Perdana Menteri dan menteri hendak ambil maklum setiap satu yang berlaku, tambah lagi itu bukan projek kerajaan.
“Sebab itu pampasan yang diberikan perlu tinggi, bukan sekadar ganti dengan satu pangsapuri baharu.
“Kos penyelenggaraan kalau boleh perlu ditetapkan rendah atau diberikan secara percuma untuk dua tiga tahun pertama bagi penduduk asal,” ujarnya. - Sinar Harian
