Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ir. Mohd Yaakob Jaafar berkata pemulangan rebat sebanyak 2.5 peratus daripada jumlah deposit atau bayaran cagaran elektrik akan dikreditkan terus ke dalam akaun bil elektrik pengguna berdaftar secara berperingkat bermula bulan lepas.
"Rebat ini diberikan kepada pengguna di bawah Enakmen Bekalan Elektrik 2024, Peraturan Bekalan Pemegang Lesen 2024, Peraturan 5(1), yang menyatakan bahawa pihak Sabah Electricity dikehendaki membuat pembayaran faedah sebanyak 2.5 peratus ke atas deposit tunai pada bulan Januari setiap tahun," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata wang cagaran dikira bersamaan dengan dua bulan penggunaan bil elektrik berdasarkan purata bagi enam bulan terakhir dan akan disemak setiap enam bulan.
Katanya penambahan wang cagaran hanya akan dikenakan sekiranya terdapat peningkatan bil elektrik berbanding wang cagaran sedia ada.
"Bagaimanapun, jika purata penggunaan kurang daripada wang cagaran, maka ia boleh dipulangkan kepada pengguna atas permintaan mereka melalui rebat ke dalam bil elektrik," katanya.
Beliau berkata pengguna boleh mendapatkan keterangan lanjut dengan mengunjungi cawangan Sabah Electricity berdekatan atau menghubungi talian perkhidmatan 15444 atau 088-515000.
"Pengguna juga boleh memuat turun aplikasi Sabah Electricity melalui telefon pintar untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai perkhidmatan Sabah Electricity," katanya.
-- BERNAMA