Beliau berkata walaupun mereka sudah menyatakan permohonan maaf kepada pihak yang tersinggung, proses siasatan tetap diteruskan.
"Kalau satu aduan laporan polis dibuat, menjadi tanggungjawab polis untuk siasat sama ada, ada asas untuk didakwa itu bergantung pada budi bicara Timbalan Pendakwa Raya.
"Soal mereka minta maaf itu merupakan satu perkara yang baik sebab mereka menyedari bahawa ungkapan itu tak patut dikeluarkan atau perbuatan itu tak patut mereka lakukan tapi soalnya adalah damage is done.
"Ia ada kesannya kepada mereka yang tersinggung ataupun terasa mereka itu menjadi sasaran," katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Penerapan Nilai-nilai Murni bersama warga Kementerian Dalam Negeri, di sini hari ini.
Dalam konteks hubungan kaum, kepelbagaian agama dan budaya di negara ini, Saifuddin Nasution berkata insiden itu memberi satu pengajaran supaya setiap rakyat di negara ini supaya sentiasa sensitif terhadap agama lain.
"Sementara kita berharap orang lain faham tentang budaya dan sensitiviti agama kita, kita juga kena bersikap begitu barulah hidup dalam rukun damai," katanya.
Terdahulu, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata polis sedang melengkapkan siasatan terhadap kes video tular tiga pengacara radio itu.
Beliau kertas siasatan berhubung kes berkenaan akan dihantar ke Pejabat Peguam Negara (AGC) dalam masa terdekat.
-- BERNAMA
