KUALA LUMPUR: Golongan penjaja dan peniaga meminta badan penguat kuasa berkaitan di seluruh negara mengkaji punca sebenar serta mengambil tindakan proaktif terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan lesen perniagaan terutama kesalahan memberikan lesen itu kepada warga asing.
Gesaan itu disuarakan susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, yang menegaskan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menarik balik lesen perniagaan penjaja yang memberikan lesen berkenaan kepada pihak lain termasuk warga asing.
Kebanyakan penjaja dan peniaga menyokong komitmen kerajaan dalam menyelesaikan masalah itu, namun, mereka mahu tindakan lebih proaktif diambil badan penguat kuasa berkaitan terutama pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri masing-masing, termasuk menyiasat sekiranya wujud unsur rasuah dan salah laku dalam proses pemberian lesen perniagaan serta sewaan tapak penjaja kepada warga asing.
Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia, Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, pihak PBT perlu memastikan proses pemberian lesen yang telus dan mengkaji punca sebenar berlakunya pemberian lesen perniagaan oleh penjaja tempatan kepada warga asing.
Rosli berkata, beliau dimaklumkan bahawa ada peniaga yang mempunyai sehingga tujuh lesen untuk berniaga di pasar malam malah pihaknya juga menerima laporan terdapat segelintir penjaja tempatan yang memberikan lesen perniagaan mereka kepada warga asing.
"Para peniaga yang memiliki banyak lesen ini hanya berniaga di sebahagian tempat manakala lesen selebihnya dijual kepada peniaga dalam kalangan warga asing," katanya menambah tindakan proaktif perlu dilaksanakan dalam menangani perkara berkenaan bagi menjaga kebajikan rakyat khususnya peniaga tempatan.
Pengerusi Komuniti Peniaga Kedai Melor di Kelantan, Nik Pa Nik Hassan meminta supaya PBT meneliti semula pemilikan premis perniagaan oleh warga asing di negeri itu susulan ia mula bertambah sejak beberapa tahun lepas malah ada juga premis perniagaan warga asing beroperasi menggunakan lesen rakyat tempatan selepas bangunan perniagaan dijual kepada warga asing.
"Sebagai contoh terdapat lebih 10 buah premis perniagaan warga asing, bermula di Pasir Tumboh, Kota Bharu sehingga ke Selising, Pasir Puteh. Kebanyakan daripada mereka berkahwin dengan ibu tunggal yang berusia lewat 50-an semata-mata untuk menggunakan nama isteri yang dikahwini untuk mendaftarkan perniagaan," katanya.
Beliau berkata, walaupun hal itu sah dari segi undang-undang, namun, ia memberi kesan kepada peniaga tempatan dan PBT perlu memastikan isu berkaitan pemilikan lesen perniagaan oleh warga asing diperketat atau dihadkan agar tidak dimonopoli golongan berkenaan sehingga menjejaskan peniaga tempatan.
Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Pahang Cawangan Bentong, Abdullah Ab Hadi pula berkata, langkah kerajaan untuk menarik lesen perniagaan yang disalah guna adalah tindakan proaktif, namun, proses pemutihan perlu dilaksanakan secara konsisten.
Turut senada seorang peniaga kedai runcit di Kampung Alor Semadom, Alor Setar, Kedah Mazlan Bakar, 61, yang berkata, tindakan menarik balik lesen perniagaan penjaja itu perlu dilaksanakan dengan lebih tegas bagi memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan untuk mendapatkan keuntungan.
"Perkara ini tidak boleh dipandang remeh kerana ada antara mereka (penjaja warga asing) ini yang meletakkan harga barangan yang dijual sesuka hati selain 'besar kepala' dengan peniaga dan penjaja tempatan di kawasan sekitar," katanya.
Seorang penjaja belacan dan cencaluk di Ayer Keroh, Melaka Amir Izzudin, 30, berharap penarikan lesen penjaja yang memberikannya kepada warga asing dapat dilaksanakan dengan lebih giat memandangkan perkara itu sudah lama berlarutan.
Sementara itu, badan penguat kuasa negeri-negeri menyatakan komitmen mereka untuk menangani pemberian lesen perniagaan oleh penjaja tempatan kepada warga asing selaras dengan usaha Kerajaan Persekutuan.
Datuk Bandar Kuala Terengganu, Rosli Latif berkata, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) sentiasa menjalankan pemantauan bagi mengenal pasti kes pemberian atau penjualan lesen perniagaan oleh penjaja tempatan kepada warga asing, termasuk mengadakan proses pemutihan seterusnya menarik semula atau membatalkan lesen perniagaan yang diberikan jika didapati aktiviti itu berlaku.
"Pihak MBKT sememangnya tidak memberikan lesen kepada penjaja warga asing. Cuma kalau ada pun, kami mendapati sebenarnya mereka (warga asing) sudah berkahwin dengan rakyat tempatan yang merupakan pemilik kepada lesen perniagaan itu. Jadi, untuk kes sebegini kita tidak boleh ambil tindakan penarikan sebab lesen itu milik rakyat kita," katanya.
Datuk Bandar Seremban, Datuk Masri Razali berkata, dasar Majlis Bandaraya Seremban (MBS) juga sememangnya tidak pernah memberikan lesen penjaja kepada warga asing termasuk yang berstatus pemastautin tetap (PR) dan pihaknya turut menempatkan pegawai termasuk di pasar harian dan pasar malam untuk menjalankan pemantauan bagi membendung masalah berkenaan.
"MBS juga akan menamatkan dan menarik balik lesen penjaja jika terbukti peniaga menyewakan lesen atau mengalibabakan kepada pihak ketiga atau warga asing. Kita juga akan ambil tindakan kepada peniaga yang mohon lesen, dah dapat tetapi tidak menjalankan perniagaan," katanya.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) juga tidak pernah memberi kebenaran kepada pihak ketiga mahupun warga asing untuk memiliki lesen perniagaan di kesemua premis di bandar raya itu.
"MBI telah lama melaksanakan tindakan membatalkan lesen perniagaan peniaga dan penjaja sekiranya mereka mengambil warga asing bekerja atau menyewakan premis milik mereka kepada pihak ketiga serta warga asing," katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, kerajaan negeri menyokong serta akan menjalankan usaha yang selari dengan Kerajaan Persekutuan untuk kebaikan peniaga tempatan.
Ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) di Pulau Pinang, P. David Marshel pula berkata, MBSP mengambil pelbagai inisiatif bersama agensi berkaitan untuk menghalang dan menghentikan penyalahgunaan lesen itu dengan melaksanakan tindakan sita serta menarik lesen penjaja jika ia disalahgunakan. - BERNAMA
Bernama
Fri Jun 16 2023

Golongan penjaja dan peniaga meminta badan penguat kuasa berkaitan di seluruh negara mengkaji punca sebenar serta mengambil tindakan proaktif terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan lesen perniagaan. - Gambar hiasan

Kes cabul di masjid: Polis siasat dakwaan suspek miliki kad OKU
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata suspek baru sahaja ditahan dan pihaknya masih menyiasat kesahihan dakwaan terbabit.
ASEAN 2025 | 21 Feb
Perkembangan ASEAN 2025 setiap jam 6 petang, membawa berita terkini dari negara-negara ASEAN termasuk ekonomi, kemajuan teknologi, dan budaya di rantau ini.
Informasi lengkap mengenai kerjasama serantau, inisiatif pembangunan, serta pencapaian negara-negara ASEAN dalam membentuk masa depan yang lebih mampan dan dinamik.
Informasi lengkap mengenai kerjasama serantau, inisiatif pembangunan, serta pencapaian negara-negara ASEAN dalam membentuk masa depan yang lebih mampan dan dinamik.

Polis tumpas sindiket proses vape berisi dadah
Kegiatan memproses vape dicampur dengan dadah jenis methamphetamine sejak enam bulan lalu terbongkar dengan penangkapan seorang wanita di Selangor.

Kanak-kanak mangsa cabul di masjid menangis, menjerit trauma
Menerusi satu video tular di platform Instagram, mangsa masih berada dalam keadaan menggigil semasa menceritakan detik hitam dirinya dicabul lelaki tersebut ketika bersolat Subuh.

'Fahmi pergi selepas ibu ucap kalimah syahadah di telinga'
Nuraini Mohamad Isa, 37 sempat mengucapkan dua kalimah syahadah ke telinga anaknya itu sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir.
Malaysia manfaat peranan ASEAN perkasa pembangunan luar bandar - Ahmad Zahid
Malaysia akan memanfaatkan peranan ASEAN dalam memperkasa pembangunan luar bandar melalui perancangan serantau yang lebih kukuh dan bersepadu.
Malaysia komited pimpin ASEAN tangani jenayah rentas sempadan - Ahmad Zahid
Malaysia komited untuk memimpin ASEAN dalam menangani pelbagai bentuk jenayah rentas sempadan termasuk penipuan dalam talian, penyeludupan manusia dan pengubahan wang haram, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Polis Filipina tahan 450 individu terlibat judi online
Polis filipina menahan lebih 450 orang dalam serbuan terhadap operator permainan dalam talian atau judi online yang didakwa dikendalikan oleh warga China di Manila pada Khamis.
Lebuh raya hubungkan India-Myanmar-Thailand tergendala akibat konflik
Lebuh raya yang menghubungkan India-Myanmar-Thailand, bertujuan meningkatkan integrasi ekonomi ASEAN dan memperluas pengaruh India dalam perdagangan dan perniagaan di Asia Tenggara terus berdepan halangan.
Genai capai tahap guna nilai perniagaan tahun ini - AWS Thailand
Teknologi kecerdasan buatan (AI) generatif (GenAI) akan mencapai tahap penggunaan untuk nilai perniagaan tahun ini, beralih dari penggunaan dalam projek perintis pada tahun 2024.

Salah guna lesen perniagaan: Penjaja, peniaga mahu PBT kaji punca, laksana tindakan proaktif
PBT diminta mengkaji punca sebenar berlakunya pemberian lesen perniagaan oleh penjaja tempatan kepada warga asing.

Salah guna lesen: 'Pusat hiburan keluarga' dilarang beroperasi di Perak mulai 2017
Antara kesalahan yang dikenal pasti adalah dengan menjadikan pusat hiburan keluarga itu tempat aktiviti perjudian termasuk oleh pelajar.